Ahad, 17 April 2016

Travelog : Oh!Riyadh (101) - Merenung Bintang Di Langit Riyadh


Merenung Bintang Di Langit Riyadh

Perjalanan berkereta ke Madinah atau Mekah kerap kali pada waktu malam. Antara aktiviti yang aku lakukan untuk menemani suamiku yang sedang memandu ialah melihat bintang di langit. Ribuan kerdipan bintang dapat dilihat dengan mudah dari cermin kereta terutama jika tiada bulan yang menerangi alam. Kerap kali aku berangan untuk duduk dengan tenang dan melihat bintang di langit. Teringin rasanya untuk bermalam di kem-kem yang banyak terdapat di sekitar Riyadh. Selain sewanya yang mahal perbagai persoalan pula timbul berkaitan dengan kemudahan tandas, keselamatan dan sebagainya.

Semakin cantik.

Minggu lepas kami ke King Salman Park sebaik usai solat Isyak. Rancangan sudah lama dibuat namun banyak halangan seperti kejadian ribut pasir, hujan dan awan yang tebal melanda Riyadh. Suasana di sepanjang jalan begitu meriah dengan kenderaan yang agak banyak. Orang ramai sudah memulakan aktiviti piknik dengan bantuan cahaya dari lampu yang dibawa atau dari kereta. Tidak kusangka masih ramai yang meneruskan aktiviti piknik di waktu malam, pantang ada ruang kosong yang boleh diletak kereta.

Singgah beli burger dulu.

King Salman Park dipenuhi orang ramai, suasana seperti di waktu siang. Kereta diletakkan di mana-mana, di tepi jalan juga di kawasan yang disediakan. Mereka berkumpul di sekitar kereta yang diparkirkan dalam bentuk tertentu supaya dapat melindungi mereka dari pandangan orang ramai juga dari tiupan angin. Unggun api menjadi satu kemestian, pelbagai alat untuk membakar berada di sisi mereka begitu juga dengan tong-tong air yang besar-besar belaka. Semua kawasan dipenuhi dengan orang ramai terutama di kawasan yang disinari dengan lampu yang disediakan. Kami terus melalui jalan yang sesekali menaiki bukit dan menuruni lurah yang dipenuhi lopak kecil berisi air. Badan terasa bergoyang-goyang melalui jalan-jalan yang ada kalanya tidak rata untuk ke kawasan yang lebih tinggi iaitu kawasan berbukit. King Salman Park ini memang terlalu luas, dipenuhi dengan kawasan berbukit dan tanah rata. Di kawasan luar pagarnya pula terdapat kebun-kebun kurma yang menghijau.


Akhirnya kami mendapat tempat yang agak sesuai , tidak jauh dari jalan utama. Kami pun menghamparkan karpet lalu duduk menjamu selera bertemankan cahaya dari lampu kereta. Disebabkan kedatangan kami tidak dirancang awal jadi tiadalah aktiviti bbq dapat dijalankan. Cuacanya memang sejuk dengan suhu di bawah 20 C serta tiupan angin yang agak kuat. Secawan kopi yang diteguk tidak mampu memanaskan badan. Patutlah ramai yang berkunjung di situ memandangkan cuacanya yang segar dan sejuk memudahkan mereka melakukan pelbagai aktiviti selain makan dan berbual. Ramai yang beriadah dengan cara berjalan kaki.



Sekadar alas perut

Sedap juga sesekali makan burger

Tempat melepak

Cahaya dari lampu kereta membantu

Bulan...

Merenung bintang di langit.

Bulan bersaiz separuh bulat dengan cahaya yang tidak begitu terang membolehkan kami melihat ribuan bintang di dada langit. Kerdipan bintang dari pelbagai penjuru alam dan saiz itu terasa mendamaikan. Puas rasanya melihat cahaya bintang di langit kerana kami berada di kedudukan yang agak tinggi. Tiada pokok atau awan yang menghalang pemandangan. Semuanya jelas dan terang. Pun begitu kami tidak mampu berada lama di situ kerana cuaca menjadi semakin sejuk. Kami tidak membawa sebarang baju panas atau mengenakan baju yang agak tebal. Tidak disangka pula cuaca begitu sejuk di sini. Syukur Alhamdulillah kerana berpeluang melihat suasana matahari terbenam dengan puas di Riyadh. Juga dapat menyaksikan bulan penuh di ruang angkasa setiap kali bulan mengambang. Semua ini disebabkan bentuk muka bumi Riyadh yang mendatar tanpa bukit atau gunung di sekelilingnya. Kami tidak terus pulang ke rumah sebaliknya meninjau suasana berhampiran Thumamah yang juga dipenuhi dengan orang ramai. Kem-kem masih lagi disewa oleh orang ramai dan kayu-kayu api masih dijual ditepi-tepi jalan. Semua menandakan spring masih diraikan.



Bercahaya



Lampu-lampu hanya di kawasan permainan kanak-kanak

Panel solar menjadi sumber tenaga untuk menyalakan lampu di sekitar
King Salman Park.

Tidak puas rasanya berada di King Salman Park dalam tempuh yang agak singkat  malam tadi kerana kesejukan malam. Kami ke sana lagi untuk bersarapan pagi, hanya 20 minit untuk sampai ke situ. Kami bukanlah orang yang pertama tiba di situ walaupun baru pukul 7.00 pagi. Kami agak yakin bahawa pengunjung tidak dibenarkan tidur di dalam kawasan park kerana tiada kelihatan karavan yang kami lihat malam tadi. Pekerja sibuk mengutip sampah yang ditinggalkan. Kami terus ke kawasan berhampiran tasik buatan atau empangan untuk menikmati nasi lemak yang aku sediakan. Puas rasanya dapat duduk berhampiran kawasan berair itu dan hanya kami di situ.

Air naik dengan cepat apabila hujan turun dengan lebat.
Hujan lebat yang melanda seluruh Arab Saudi pada hari Isnin dan Selasa lepas menyebabkan berlaku kejadian banjir dan 18 orang kehilangan nyawa. Sekolah dan universiti di tutup pada hari Rabu. Tahun ini hujan turun agak banyak dan berterusan sehingga pada bulan April, berbeza dari tahun lepas. Banyak terdapat kawasan yang dipenuhi air disekitar park ini  secara semula jadi menjadikannya tempat yang begitu sesuai untuk merehatkan diri. Kami tidak berada lama di sini kerana beberapa buah kereta mulai muncul di kawasan tersebut.


Penuh dengan air
Menjadi pilihan

Terus makan

Nasi lemak dan kek lapis aje.

Sungguh berselera makan di luar sesekali
Masih pagi dan sejuk
Sunyi dan damai.




                                                                                                zias/riyadh/16

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Raya 2024

BismillahirRahmanirRahim Hari raya kedua,  Kami bertiga bertolak ke utara dengan melalui lebuh raya WCE yang baru sahaja siap. Malangnya ber...