Jumaat, 29 April 2016

Travelog : Oh! Riyadh (105) - Rindu Iman

Rindu Iman.


Alhamdulillah. Dengan izin Allah SWT aku berpeluang berada di bumi Arab Saudi sepanjang aku bercuti tanpa gaji. Merasai nikmat melalui detik masa dengan rasa yang lebih tenang dan selesa. Tidak perlu memikirkan esok perlu ke tempat kerja. Walau sumber kewangan sendiri sedikit berkurang, namun banyak perkara yang mampu aku lakukan sepanjang tempoh bercuti ini. Aku tidak memiliki minat yang memerlukan sumber kewangan yang banyak, jadi elaun yang diberi oleh suami sepanjang tempoh bercuti semestinya mencukupi. Kecuali melancong....yang ini tidak boleh dielakkan.

Berselfie sebelum berpisah.
Hampir satu tahun setengah aku berpeluang belajar membaca Al Quran secara berjadual ketika berada di Riyadh. Aktiviti yang memang selalu aku impikan dan dambakan. Sememangnya banyak peluang untuk mencari ilmu di sini sama ada secara percuma atau dengan sedikit bayaran. Tawaran dari sekolah-sekolah kerajaan atau secara  individu memang ada tetapi masalah pengangkutan menjadi masalahnya. Setelah mengenali lebih ramai sahabat-sahabat yang menetap di Riyadh, akhirnya aku bertemu dengan seorang pelajar Malaysia yang sudi datang ke rumah untuk mengajar Al Quran. Ustazah Shikin adalah bekas pelajar di Universiti Noura binti Abdul Rahman, universiti khas untuk kaum wanita sahaja di Riyadh. Suami UStazah Shikin yang kami panggil Ustaz Zaki merupakan siswa tahun ketiga di Imam Muhammad Ibn Saud Islamic University, Riyadh.

Iman..sebelum usia setahun.
Selepas solat Maghrib setiap hari Selasa dan Khamis, Saffura menyemak hafazan Al Quran dan aku pula memperbaiki bacaan. Aku mendapat nikmat membaca Al Quran dengan lebih baik dari Ustazah Shikin yang juga merupakan seorang Hafizah. Terasa begitu bermakna apabila dapat membaca secara langsung dengan tumpuan yang diberi Ustazah Shikin. Membaca Al Quran menjadi lebih bermakna dengan bacaan yang lebih baik dari segi makraj huruf dan tajwid sebagai kesinambungan apa yang telah aku pelajari dari Dar al Dhikr.
Kami juga akan bergilir untuk menjaga Iman, anak sulung Ustazah Shikin ketika salah seorang dari kami mengaji bersama Ustazah Shikin. Dari usia sebelum mencapai umur setahun sehingga kini, Iman sudah berusia hampir setahun setengah.
Besar jadi Hafizah na
Semakin cerdik
Minggu lepas (19/4/16) kami diberitahu kelas mengaji terpaksa dihentikan kerana Ustazah Shikin terpaksa pulang ke Malaysia. Berita yang begitu mengejutkan kami di mana aku menjangkakan kelas akan berterusan sehingga beberapa minggu lagi sebelum cuti summer bermula. Terdapat masalah berkaitan dengan tempoh visa Ustazah Shikin berada di Arab Saudi memaksanya pulang dahulu untuk bercuti ke tanah air sebelum suaminya tamat peperiksaan semester ini. Terpaksa kami lepaskan Ustazah Shikin balik walaupun bacaan Al Quran yang aku pelajari baru mencecah Juz 15.

Iman dah jadi orang Arab...makan roti aje

Seminggu berlalu, dua kali kelas mengaji sudah tiada. Terasa sangat ketidakhadiran mereka berdua di rumah kami. Sedihnya tidak dapat mengaji dengan Ustazah Shikin lagi. Walaupun aku sudah memulakan langkah meneruskannya dengan belajar melalui laman blog dan sebagainya tetapi pastinya tidak sama. Lebih mendukacitakan aku ialah tiada teman untuk merasa makanan yang aku sediakan. Biasanya aku akan masak sesuatu untuk dihidangkan kepada Ustazah Shikin setiap kali ada kelas mengaji. Seronok aku membuat eksperimen makanan yang ingin aku sediakan. Ustazah Shikin umpama food tester yang begitu bermakna bagiku. Suka aku tengok Ustazah Shikin menghabiskan setiap hidangan yang aku sediakan walau tanpa sebarang komen, sekadar senyuman. Aku pula yang sibuk bertanya bagaimana rasanya, ok ke dan bermacam lagi soalannya.


Ada mainan dah.

Lebih terasa ialah tiadanya Iman yang comel. Memang seronok melayan Iman yang semakin cerdik dan bijak. Walaupun belum mampu memanggil aku dengan panggilan "tok" seperti yang aku gelarkan kepadanya. Iman begitu mengenali kami dan semakin rapat dengan aku dan Saffura. Tidak pasti bila kami akan berjumpa lagi. Moga Iman membesar menjadi anak yang solehah, berakhlak mulia, membahagiakan ibu dan ayah di dunia dan akhirat. Ada rezeki berjumpa lagi. In Sha Allah. Jazakillahu khairan kepada Ustazah Shikin yang sudi meluangkan masa datang ke rumah untuk menyampaikan ilmu Al Quran. Hanya Allah SWT sahaja yang mampu membalasnya. Maaf kan kami di atas segala kekurangan.



                                                                                                                                         zias/riyadh/16

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Raya 2024

BismillahirRahmanirRahim Hari raya kedua,  Kami bertiga bertolak ke utara dengan melalui lebuh raya WCE yang baru sahaja siap. Malangnya ber...