Isnin, 11 April 2016

Dapurku D'Riyadh (154) - Nasi Kerabu



Bismillahirrahmanirrahim

Nasi Kerabu mengimbau kenangan ketiak di Sekolah Vokasional Kuantan, Pahang  atau kini bertukar nama kepada Kolej Vokasional Seri Pelindung. Aku bertugas di sekolah tersebut pada tahun 1995 sehingga 1997. Walaupun hanya dua tahun tetapi banyak kenangan yang tersimpan ketika tinggal di Kuantan. Kerap kali Nasi Kerabu menjadi menu di kantin sekolah, yang paling aku suka ialah ikan goreng bersalut tepung. Berwarna kuning dan manis rasanya.

Di Riyadh, Nasi Kerabu ada juga dijual tetapi dalam peristiwa tertentu atau ketika ada kawan-kawan dari Kelantan yang sudi menjamu Nasi Kerabu. Majoriti kami di Riyadh tidak kira dari mana asalnya meminati nasi unik yang berasal dari Kelantan ini. Beberapa kali Saffura meminta aku menyediakan nasi kegemarannya ini, namun aku diamkan sahaja. Sememangnya aku terlalu ingin untuk membuatnya tetapi banyak sangat aksesori yang perlu disediakan untuk dimakan bersamanya. Ada yang memberi idea supaya aku membuat solok lada dan sambal kelapa yang diperlukan terlebih dahulu kemudian disimpan di dalam peti sejuk. Kemudian baru dimasak nasi, kuah pekat, ayam goreng, sambal dan ulamnya.

Gambar Nasi Kerabu yang dibuat oleh anak saudaraku Wan Suhanis betul-betul mencabar diriku. Nampak sedap dan teringin la pula. Akhirnya aku mengikut nasihat Fariha dan tiga hari diperlukan sebelum hidangan Nasi Kerabu aku sempurnakan. Itu pun masih tertinggal telur masin. Mujurlah kami tidak minat dengan budu jadi Nasi Kerabu yang aku sediakan adalah versi utara..hahaha. Untuk lauk pula aku sekadar menggoreng ayam yang digaul bersama garam dan kunyit sahaja. Melalui pemerhatianku ikan bersalut tepung kurang diminati Saffura lagi pula agak sukar mendapat ikan kembung kecil yang betul-betul segar dan baru. Banyak resepi yang dikongsikan melalui FB tetapi aku mengambil resepi dari Wan Suhanis dan juga dari FB yang mana aku rasa lebih senang untuk disediakan. Memang mencabar betul untuk menyediakan Nasi Kerabu ini, nasi paling susah pernah aku buat.

Resepi Nasi Kerabu

Sambal Kelapa
Bahan2:
3-5 ekor ikan Kembung -direbus dan diambil isi
3 ulas bawang merah*
1 ulas bawang putih*
2 batang serai*
1 inci halia*
1/2 biji kelapa parut- digoreng tanpa minyak macam buat kerisik.
Garam dan gula
Cara Membuatnya:
1.Kisar bahan * dan masak di dalam kuali tanpa minyak sehingga
   kering air.
2.Kelapa yang digoreng ditumbuk/kisar.
3.Satukan semua bahan termasuk garam dan gula dan gaul 
   sehingga sebati.





Solok Lada
Bahan2:
Beberapa biji lada hijau- dibelah dari atas ke bawah jangan
sampai putus, buang biji dan rendam sekejap.
3-5 ekor ikan Kembung - direbus, ambil isi dan hancurkan
1- 1 1/2 cawan kelapa parut (elok yang putih sahaja) ditumbuk sedikit
1/2 biji bawang besar*
1/2 inci halia*
2 ulas bawang putih*
1 biji telur
Garam dan gula

Cara Membuatnya:
1.Bahan  bertanda * dikisar halus.
2.Campurkan isi ikan bersama bahan yang dikisar dan kelapa.
   Masukkan juga garam dan gula, gaul supaya bercampur
   kesemuanya.
3.Masukkan telur dan gaul lagi sehingga sebati.
4.Sumbatkan adunan tadi ke dalam cili yang telah dibelah.
5.Kukus solok lada tadi sehingga masak. Boleh juga direbus
   bersama sedikit santan.



Nasi Biru
Bahan2:
2 cawan beras Basmati dibasuh dan direndam 1/2 jam
1 batang serai dibelah dua
3-4 helai daun limau purut
Sedikit garam
2 1/2 cawan air
Sedikit pewarna biru

Cara Membuatnya:
1.Masukkan semua bahan yang disediakan ke dalam rice
   cooker dan biarkan sehingga masak.

Sebelum dimasak.


Nasi kaler biru sudah masak

Kuah Tumis
Bahan2:
1 biji bawang besar*
3 ulas bawang putih*
1/2 inci halia*
bahan * dikisar
2-3 sudu besar cili kering yang dikisar
1- 2 cawan santan pekat
1 batang serai dibelah dua
1 keping asam keping
Sedikit gula Melaka
Garam
2 sudu besar minyak masak

Cara membuatnya:
1.Panaskan minyak di dalam sebuah periuk. Masukkan serai
   dan goreng sehingga harum.
2.Masukkan bahan yang ditumbuk dan kacau sekejap. Masukkan
   sedikit air dan biarkan sehingga mendidih.
3.Masukkan santan, asam keping, garam dan gula Melaka. Kacau
   sentiasa supaya santan tidak berketul. Masak sehingga pecah
   minyak.


Jika dimasak lebih pekat lagi sedap.
Keperluan lain untuk dimakan bersama nasi

Sambal dan ulaman

Keropok

Ayam Goreng
Boleh dihidangkan.

Puas betul makan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Raya 2024

BismillahirRahmanirRahim Hari raya kedua,  Kami bertiga bertolak ke utara dengan melalui lebuh raya WCE yang baru sahaja siap. Malangnya ber...