Khamis, 21 April 2016

Dapurku D'Riyadh (161) - Kuih Cara Manis



Bismillahirrahmanirrahim

Sebenarnya kuih cara manis ini aku sediakan ketika aku agak terlewat untuk menyediakan sarapan pagi. Buntu rasanya untuk menyediakan juadah sarapan pagi untuk Saffura yang akan ke sekolah dan suami yang akan ke tempat kerja. Faktor masa menjadi amat penting terutama apabila terlewat bangun. Selain sarapan pagi, bekalan untuk dibawa ke sekolah atau ke pejabat juga perlu disediakan pada masa yang sama. Makanan yang lebih berat seperti nasi goreng, mee goreng atau bihun goreng menjadi pilihan untuk bekalan. Ini kerana tiada jualan makanan di sekolah.

Waktu solat Subuh semakin awal kerana summer makin hampir. Buat masa ini waktunya adalah pada pukul 4.04 pagi. Biasanya ada jarak waktu yang agak panjang untuk menyediakan sarapan pagi dan bekalan untuk ke sekolah atau ke tempat kerja. Jika terlewat bangun, sememangnya aku akan sedikit kalut kerana semuanya perlu dibuat sebelum pukul 6.30 pagi. Kuih cara manis menjadi pilihan kali ini kerana kebiasaannya mereka berdua tidak gemar makanan yang agak berat di waktu pagi.


Resepi Kuih Cara Manis

Bahan2:
1 cawan tepung gandum
1 cawan air daun pandan
1 cawan susu segar (boleh guna santan)
Sedikit pewarna hijau
Sedikit minyak masak
Gula

Cara Membuatnya:
1.Masukkan tepung, air daun pandan, susu dan sedikit
   pewarna hijau ke dalam blender. Mesin sehingga larut.
2.Tapiskan adunan yang terbentuk ke dalam bekas lain.
3.Panaskan acuan bauhu dan sapu sedikit minyak masak.
4.Masukkan adunan ke dalam acuan sehingga hampir
   penuh.
5.Biarkan sehingga bahagian sekelilingnya nampak masak.
6.Masukkan gula ke dalamnya (ikut rasa,lebih kurang 1 sudu
   kecil) dan tutup acuan dengan tudung periuk supaya cepat
   masak.
7.Apabila bahagian bawah agak keperangan, bolehlah diangkat.
8.Telangkupkan dua kuih menjadi satu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Raya 2024

BismillahirRahmanirRahim Hari raya kedua,  Kami bertiga bertolak ke utara dengan melalui lebuh raya WCE yang baru sahaja siap. Malangnya ber...