Isnin, 11 April 2016

Dapurku D'Riyadh (153) - Kuih Maamoul



Bismillahirrahmanirrahim.

Kuih Maamoul merupakan makanan ringan yang aku gemari walaupun baru mengenalinya. Pertama kali makan aku terus suka dan ianya sentiasa ada di rumah untuk dimakan apabila perlu. Kuih Maamoul ini mempunyai inti kurma , ianyamudah dibeli di dalam kotak dengan pelbagai jenama dan saiz. Kuih Maamoul yang segar juga boleh dibeli di mall dalam kuantiti yang disukai, harganya juga biasa-biasa sahaja. Mulanya aku seorang sahaja yang memakannya namun kini semua sudah suka akan kuih ini.

Intinya juga mempunyai pelbagai rasa.


Jenama Panda semakin menjadi pilihan kami.

Sebenarnya terlalu banyak makanan ringan yang boleh didapati dari kedai-kedai di Riyadh. Ianya boleh dibeli dengan harga yang murah jadi tidak hairan kenapa ramai yang lebih gemar membeli dari membuatnya sendiri. Ada rakan-rakanku dari bangsa Arab yang hairan apabila aku bertanya akan resepi tertentu kepada mereka supaya aku dapat membuatnya. Sebaliknya mereka menasihatiku agar membeli sahaja lagi pula mereka pun tidak pernah membuatnya. Sejak itu , malas rasanya untuk aku bertanya lagi.

Cup cakes dan croissant berinti strawberry
kadang-kadang menjadi bekalan ke sekolah atau pejabat.


Aku memang berhasrat untuk membuat kuih ini supaya apabila pulang ke Malaysia nanti aku mampu menghasilkannya sendiri. Namun puas aku mencari acuan kuih Maamoul ini di beberapa kedai sekitar Riyadh namun tidak berjumpa lagi. Puas aku menerangkan kepada pekerja di kedai-kedai tersebut tetapi mereka tidak memahaminya. Akhirnya aku menggunakan acuan yang ada di rumahku. Kebetulan sewaktu melancong ke Qatar aku sempat membeli kuih Maamoul dari Qatar yang menyerupai tart nenas. Jadi aku mendapat idea membuatnya dalam bentuk tersebut.


Resepi kuih Maamoul ini asalnya dari Chef Ammar. Tetapi untuk bahagian intinya aku ubah sedikit dengan hanya memasukkan pes kurma sahaja tanpa rempah dan sebagainya. Ini kerana pes kurma yang dibeli sudah cukup manis. Aku juga menggunakan separuh sahaja dari sukatan yang diberikan.
Aku juga tidak memasukkan isi kurma di dalam adunan kuih tersebut.

Resepi Kuih Maamoul
Bahan2
1 cawan mentega
1/2 cawan minyak jagung
1 biji telur
1/2 cawan gula
1 sudu kecil esen vanila
3 cawan tepung gandum
1/2 sudu kecil yis kering
1 sudu kecil baking powder
Secubit garam
1/2 cawan susu segar

Untuk Inti
Isi kurma yang siap dikisar, dibentuk bulat kecil.
Pilihan: boleh masukkan Arabic Mix spices, serbuk 
buah pelaga, gula dan mentega yang digaul rata.

Pes kurma dibentuk bulat untuk memudahkan kerja

Cara membuatnya:
1.Masukkan mentega dan minyak jagung ke dalam sebuah mangkuk besar.
   Pukul dengan mixer selama lebih kurang 2 minit. Masukkan telur  dan
   kacau sehingga sebati kemudian tambahkan esen vanila dan kacau.
2.Masukkan gula, tepung, yis, baking powder,susu dan garam. Gaul dengan
   tangan sehingga terbentuk adunan. Jika terlalu lembut boleh ditambah tepung
   sedikit demi sedikit sehingga adunan boleh dibentuk.


3.Panaskan oven pada suhu 180 C.
4.Ambil sedikit doh dan bentukkan bulat. Masukkan inti di dalamnya dan tutup
   kembali. Masukkan ke dalam acuan dan keluarkan. Susun di atas dulang
   pembaka yang dialas dengan kertas pembakar. Ulang sehingga selesai.
Acuan yang aku gunakan

5.Boleh juga dibentuk seperti tart nenas, disapu kuning telur dan ditabur bijan
   diatasnya.
6.Bakar di dalam oven sehingga masak atau warna keperangan.
7.Biarkan sejuk dan boleh ditabur dengan gula ising ketika menghidangkannya.
8.Kuih Maamoul ini boleh tahan sehingga dua bulan dan sesuai juga untuk
   hidangan di hari raya.

 
Sudah masak.

Lembut dan rangup


Macam tart kurma.







3 ulasan:

  1. Assalam. Makyang juga minat kuih ni sejak pertama kali merasainya. Mohon share resepi ni ye. Jazakallah...

    BalasPadam
  2. Assalam. Makyang juga minat kuih ni sejak pertama kali merasainya. Mohon share resepi ni ye. Jazakallah...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumussalam. Ya MakYang silakan.Barakallah.

      Padam

Raya 2024

BismillahirRahmanirRahim Hari raya kedua,  Kami bertiga bertolak ke utara dengan melalui lebuh raya WCE yang baru sahaja siap. Malangnya ber...