Khamis, 21 Julai 2016

Travelog : Oh ! Riyadh (120) - Bonus...30 Hari Ramadhan tahun ini.


28 Ramadhan

Hari ini kami keluar lebih awal iaitu pada pukul 2.00 petang menuju ke MasjidilHaram. Orang tidak seramai biasa kerana waktu solat Asar masih jauh lagi, laluan yang agak hampir dengan Hotel Hilton turut dibuka. Menghampiri Hotel Hilton, kedai-kedai yang menjual makanan masih belum memulakan operasi menjual walaupun sudah ada yang membuka pintu-pintu kedai. Aktiviti menjual bermula selepas Solat Asar,namun ada juga kedai yang menjual makanan yang lebih ringan seperti sandwich dan sebagainya. Aku dan Saffura singgah di salah sebuah kedai yang kelihatan sudah ada makanan untuk dijual buat bekalan berbuka puasa. Kami tidak mahu keluar selepas solat Maghrib seperti selalu kerana malas untuk bersesak dengan orang ramai yang mahu mencari makanan berat buat menambah tenaga untuk meneruskan solat Isha' dan Tarawih.

Semasa hendak membuat bayaran bagi kebab falafel yang dibeli, aku didatangi oleh beberapa orang wanita berketurunan India dan  Mesir. Mereka meminta 1 rial dariku menggunakan isyarat tangan sambil mata merenung tajam ke arah beg tanganku. Mereka seolah mahu menarik wang yang sedang aku masukkan ke dalam dompetku yang terbuka. Tidak tertahan dengan gelagat mereka, Saffura mengeluarkan perkataan...haram...haram beberapa kali. Mereka berlalu sambil menunjukkan riak muka yang tidak senang. dan kami terus beredar secepat mungkin. Ianya bukanlah pengalaman pertama bagiku bahkan kali ini agak melampau sekali sikap mereka. Bukan aku tidak mahu bersedekah terutama di bulan penuh barakah. Namun aku takut dikejar oleh mereka yang lain yang berada di sekitarnya. Pernah kami dikejar dan tangan kami dipegang selagi tidak memberi apabila kami memberi 1 rial kepada salah seorang dari mereka. Bilangan mereka memang ramai. 

Tambahan pula aku pernah membaca perihal sindiket meminta sedekah di mana ada pihak yang mengeluarkan belanja penerbangan untuk membawa golongan tertentu untuk dijadikan peminta sedekah dari luar negara di bulan Ramadhan. Pasti mereka mempunyai target tertentu sebab itu ada yang menjadi agak agresif terutama di penghujung bulan Ramadhan. Semalam aku didatangi sepasang suami isteri yang bertanya sama ada aku boleh berbahasa Inggeris. Apabila aku mengaku, sisuami yang masih berpakaian ihram terus memberitahu akan masalah mereka. Mereka sudah kehilangan segala-galanya dan tinggal sehelai sepinggang, tiada wang untuk makan atau pulang ke tanah air. Aku tidak begitu yakin apabila melihat gaya isterinya lalu berlalu mendekati suamiku. Mereka terus mengikutiku namun suamiku menggelengkan kepala tanda tidak mahu melayannya.  Pelbagai cara penipuan mahu dilakukan walaupun di tanah suci. Jika ada masalah pasti pihak berkuasa mahu menolongnya. Misalnya terdapat pondok-pondok khas untuk membantu tetamu Allah yang bermasalah. Dan kita pula tidak boleh terlalu percaya kepada semua orang yang dijumpai walaupun di tanah haram. 
Muaz dan timbunan beg dan barang-barang keperluan harian.
Entah berapa lama mereka sekeluarga menetap di dalam
MasjidilHaram.


Kali ini kami berpeluang masuk ke tingkat 1 bangunan lama MasjidilHaram melalui King Fahd Gate. Terdapat beberapa ruang duduk yang masih kosong dan keadaannya tidak begitu sesak seperti kebiasaannya. Ramai yang berbaring dan mengambil ruang melebihi untuk dirinya. Ada juga ruang kosong yang sudah ditempah dengan meletakkan beg, sejadah atau kerusi lipat. Mereka tidak memahami bahawa perbuatan tersebut sebenarnya tidak betul kerana mengambil hak orang lain. Sedangkan mereka entah dimana jika mereka keluar sebentar untuk ke bilik air atau mengambil wuduk mungkin boleh diterima. Ada yang tidak kembali walaupun solat sudah hendak dimulakan. Aku dan Saffura duduk di antara seorang wanita muda Mesir bersama anaknya Muaz di sebelah kiri dan seorang wanita Arab yang sudah berusia dan sedang tidur di sebelah kanan. Muaz yang berusia setahun lebih, agak aktif bergerak ke sana kemari. Sesekali kakaknya datang bermain dengannya. Kakaknya dijaga oleh ayahnya yang duduk tidak jauh dari kawasan tempat duduk wanita. Seronok juga kami melayan Muaz sementara menunggu waktu solat.

Menjelang waktu berbuka, ada sahaja yang mahu memberi.


Aku dan Saffura terus berada di situ menanti saat berbuka puasa. Kaum wanita mulai memasuki ruang solat tersebut, sesekali berlaku pertengkaran kecil kerana berebut tempat duduk atau ruang untuk solat. Ada yang marah-marah apabila ada yang tidak mahu memberi ruang untuknya duduk di sebelah disebabkan saiz ruang yang semakin kecil atau ruang tersebut telah ditempah orang. Ada masanya pertengkaran kelihatan agak serius namun ada juga yang terus berbaik semula. Tempat duduk di sebelah kami juga menjadi rebutan apabila tuannya keluar mengambil wuduk. Pertengkaran berlaku apabila tuannya datang dan yang datang terpaksa beralah. Akhirnya terdapat sedikit ruang kosong di sebelahku dan ianya diisi oleh Khadijah dari Jordan. Beliau mengucapkan terima kasih kepadaku kerana memberi ruang kepadanya untuk duduk di sebelahku. Dua orang anaknya yang sudah dewasa duduk selang beberapa baris di belakang kami. Tidak lama kemudian ada seorang wanita muda berketurunan Arab dan berniqab datan kepada kami lalu memanggil wanita lain yang berada berdekatan dengan kami. Beliau memberi sedikit tazkirah berkaitan dengan Solat Jenazah yang diadakan selepas solat fardhu. Aku memahami sedikit apa yang cuba disampaikan walaupun di dalam Bahasa Arab. Ada yang bertanya beberapa soalan kepadanya. Bagus betul walaupun tidak berapa lama namun lebih baik lagi jika ianya boleh disampaikan dalam bahasa lain juga.

Hasil untuk berbuka puasa hari ini. Laban, Gadwa, kurma
dan daun mint


Khadijah menghabiskan masa dengan membaca Al Quran yang dibawanya, khatam mungkin. Beliau terus berdoa dan berdoa sesekali bersujud dengan agak lama. Dia memberitahuku di dalam bahasa Arab,anak-anaknya bernama Noor dan Balqis. Salah seorangnya dari mereka sedang menuntut di universiti di dalam bidang Bahasa Inggeris. Sewaktu berbuka tidak banyak yang dijamahnya, dia lebih banyak berdoa. Tanpa diduga Khadijah menyerahkan Al Quran yang dibawanya. Aku terkejut dan menyoalnya....hadiah?hadiah? Khadijah menganggukkan kepala sambil tersenyum. Aku bertanya beberapa kali hingga berpuas hati. Al Quran yang mengandungi 30 keping mengikut bilangan juzuk aku peluk erat. Selepas solat sunat Khadijah mahu beredar dan aku cepat-cepat mendapatkan Noor lalu menyerahkan kepadanya sejadah kecil yang baru kami beli dan gunakan. Aku menerangkan kepada Noor akan hadiah yang ibunya berikan kepadaku dan aku juga mahu memberi hadiah buatnya. Noor tersenyum dan menerangkan kepada ibunya. Ibunya memelukku dengan erat sambil mencium kedua-dua belah pipiku. Tangannya pula memgengam erat tanganku seolah tidak mahu melepaskannya. Terasa begitu mesra walau baru sejam lebih aku mengenalinya. Mereka bertiga berniqab, tidak dapat aku bergambar dengan mereka. Moga Allah merahmati keluarga Khadijah dunia dan akhirat.




Di rooftop MasjidilHaram


Sementara menanti keputusan sama ada esok raya atau tidak, kami bergerak ke roof top. Sudah beberapa kali kami mahu ke bahagian paling atas tersebut namun ianya tidak dibenarkan oleh pihak berkuasa. Namun kali ini kaum wanita boleh berbuat demikian, mungkin ruang solat yang tidak mencukupi. Walau bagaimanapun keadaan di situ agak panas pada malam tersebut, tiada angin yang bertiup. Lalu kami bergerak ke tingkat mataf yang baru, terletak di tingkat satu. Kelihatan ramai jemaah umrah dari Malaysia bersolat di kawasan ini.  Ramai yang menanti keputusan sama ada anak bulan Syawal kelihatan atau tidak. Agak lama juga baru solat Isha' diadakan dan diikuti dengan solat Tarawih. Fahamlah kami bahawa esok sinar Ramadhan masih ada.Bonus sehari lagi.

Rauang solat untuk wanita di belakang

Ruang solat berhampiran laluan tawaf di dalam bangunan

Solat Tarawih di MasjidilHaram adalah sebanyak 20 rakaat dengan dua imam. Imam kedua menggantikan Imam pertama selepas 10 rakaat. Imam kedua akan teruskan sehingga solat witir diikuti dengan doa qunut yang panjang. Di malam 10 terakhir Ramadhan pula solat witir dilaksanakan selepas solat Tahajud. Biasanya solat Tarawih berakhir pada pukul 11.30 atau 11.45 malam. Solat Tahajud pula bermula pada pukul 12.45 tengah malam dengan 10 rakaat dan diikuti dengan 3 rakaat solat Witir. Imam pertama memimpin sebanyak 6 rakaat dan diikuti oleh imam kedua sebanyak 4 rakaat serta solat witir serta doa di rakaat terakhir. Semenjak kami berada di Mekah, hanya Imam Abdullah bin 'Awad al Juhani dan Syeikh Yasser Al Dosari yang bertugas ketika solat Tarawih. Namun malam tadi Dr Syeikh Abdul Rahman Al Sudais mengakhiri solat Tarawih dengan mengkhatam Al Quran dan diikuti dengan doa yang panjang. Selama hampir 30 minit doa yang merayu kepada Allah, dipanjatkan dalam tangis sendu yang menghibakan. Ya Ramadhan bakal berakhir...pasti semua merasa pilu. Solat Tahajud dibawa Imam Syeikh Dr Shalih bin Abdillah Al Humaid, Imam Abdullah bin Awad al Juhari dan Dr Syeikh Abdul Rahman Al Sudais. Solat Tahajud berakhir pada pukul 2.30 pagi. Solat Subuh pula sekitar pukul 4.00 pagi. Memang masa untuk tidur begitu terhad di bulan Ramadhan jika kita berada di Mekah. Sebab itu ramai yang ketiduran di siang hari sehingga lewat petang.



Bersama Pn Siti Bahayah Lela.

Selepas solat Tarawih kami ke Safa Tower untuk melihat makanan yang boleh kami beli di D'Saji.  Suasana begitu padat dengan orang ramai. Kami terpaksa menunggu di tepi meja yang sedang digunakan oleh orang lain untuk mendapat tempat duduk. Walaupun tidak disenangi, itu sahaja jalannya jika tidak, kita terpaksa membawa balik makanan ke hotel atau makan di atas lantai. Adegan bertengkar merebut tempat duduk berlaku di satu sudut ruang makan tersebut. Ramai yang kurang sabar di bulan puasa dengan ratusan ribu atau jutaan manusia di sekitar MasjidilHaram. Kami yang sudah mendapat tempat duduk dan makanan, terus makan dengan cepat kerana sudah ada yang menanti di sebelah meja kami. Sedang asyik makan, Saffura memberi isyarat kepadaku akan kehadiran rakan sekerja di sekolahku. Aku terus menarik tangan Pn Hjh Siti Norbahayah Lela yang sedang berjalan di depanku. Siti agak terkejut melihat kami namun terus memelukku. Tidak banyak yang dapat kami bualkan kerana jelingan sang penanti. Namun cukup melepaskan rasa rindu dan kasih sayang antara kami jelas terasa. Suami Pn Siti juga bekerja di Arab Saudi, sudah 10 tahun lamanya. 8 tahun di Madinah dan kini di Mekah namun Pn Siti dan keluarga tidak menyertainya. Sesekali mereka berkunjung ke Arab Saudi.
Suasana sebelum tengah malam

Dataran MasjidilHaram menjadi pilihan untuk duduk bersama keluarga

Semua sibuk
30 Ramadhan

Kami checkout dari Mobrak Hotel pada pukul 2.00 petang. Kami membawa kereta menuju ke Kudai Parking dan meninggalkan kereta di sana. Kami menaiki teksi untuk ke Hotel Hilton pula. Kami minta dihantar ke kawasan paling hampir dengan Hotel Hilton iaitu di bahagian laluan bawah tanah. 80 rial bayarannya dan puas juga kami dibawa berpusing sekitar Mekah. Ketika keluar dari teksi kami dapati ramai peniaga yang menjual makanan, minuman dan kurma yang dibungkus untuk dijamu kepada tetamu Allah di dalam MasjidlHaram. Rupanya semua sudah siap dibungkus, hanya perlu membeli sahaja untuk bersedekah. Kami diminta meninggalkan barang dan mendaftar masuk ke hotel pada pukul 4.00 petang.  Keletihan, kami hanya mampu bersolat jemaah di surau di tingkat 5 (untuk perempuan). Pun begitu solat kami berimamkan dengan imam dari MasjidlHaram. Baru kami tahu bahawa surau yang kelihatan dari dataran MasjidlHaram itu boleh dimasuki orang ramai dan ianya bukan milik Hotel Hilton. Terdapat lif khas untuk ke sana yang terletak di bahagian depan bangunan Hotel Hilton. Surau untuk lelaki pula terletak di tingkat 4. Ramai pula yang bersolat di situ rupanya, suraunya besar dan bersih. 

Inilah laluan kami selama 4 hari. Pemandangan dari lobi hotel.

Ruang solat untuk yang tidak mampu berjalan lebih jauh
Lob Hotel Hilton

Lebih dua jam menunggu baru kami dapat masuk ke bilik hotel, ada masalah dengan komputer katanya. Oleh itu kami diberi Junior Suite dan beberapa orang pegawai datang meminta maaf atas kesulitan yang kami hadapi. Bilik yang kami duduki memang luas dan selesa. Jom tengok bilik hotel yang selama ini aku hanya mampu melihatnya dari jauh. Harganya SR3585.00 untuk tiga malam dan ianya ditempah pada 31 Mac 2016. Syukur Ya Allah dengan nikmat yang diberi.

Tingkap yang laus dan unik


Macam rumah sendiri

Meja makan

Puas hati betul

Tingkap kayu yang sungguh istimewa

Ada satu lagi extra katil di depan.


Laluan kami sebelum ini
Gambar diambil selepas Ramadhan....bilanagn tetamu Allah
berkurang sedikit


Hotel Hilton terletak di dataran MasjidilHaram. 

Laluan khas dari hotel untuk ke luar bangunan

Sekitarnya sentiasa dipenuhi orang ramai kerana adanya supermarket Bin Dawood dan banyak
kedai makan

Lifnya


Lif di depan bilik aje



Bersambung.....


zias/riyadh/16

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Raya 2024

BismillahirRahmanirRahim Hari raya kedua,  Kami bertiga bertolak ke utara dengan melalui lebuh raya WCE yang baru sahaja siap. Malangnya ber...