Ahad, 17 Julai 2016

Travelog : Oh! Riyadh (117) - Ramadhan 1437H pun berlalu.





Alhamdulilah dapat aku menyentuh kembali komputer untuk teruskan aktiviti  menulis di dalam blogku ini. Memang rindu sangat apabila tidak dapat melakukan aktiviti yang menjadi rutin semenjak terbinanya blog Memory ZiaSaf. Cuti panjang sempena Syawal sudah pun berlalu namun keletihan setelah kembali dari percutian masih ada. Tempoh masa untuk berada di Riyadh semakin pendek. Saudara mara asyik bertanya bila kami akan sampai di tanah air, walau beberapa kali sudah diumumkan melalui Facebook dan WhatsApp. Rindu  akan keluarga dan rakan-rakan kerap kali dibatasi dengan rasa sedih mahu meninggalkan segalanya tentang Riyadh. Aku kuatkan semangat untuk terus mencoret kenangan di sini sebanyak mungkin sebelum tarikh tersebut muncul.

Kami meninggalkan Riyadh menuju ke Mekah pada hari ke 27 Ramadhan (Sabtu) dan berada di sana selama 9 hari. Kemudian kami ke Madinah pula selama 5 hari. Tiba di Riyadh pada malamnya dan di pagi keesokannya kami ke Bahrain selama 2 hari. Semuanya akan aku tuliskan di entri yang seterusnya. Entri kali ini akan aku muatkan dengan peristiwa yang berlaku sepanjang Bulan Ramadhan pada tahun ini. Ramadhan terakhir kami di Riyadh.




Masjid Terbesar diRiyadh - Masjid Al Rajhi

Ada Iftar di sini untuk lelaki dan perempuan setiap hari.
Ruang solat untuk wanita.

Kami meninggalkan Riyadh menuju ke Mekah pada hari ke 27 Ramadhan (Sabtu) dan berada di sana selama 9 hari. Kemudian kami ke Madinah pula selama 5 hari. Tiba di Riyadh pada malamnya dan di pagi keesokannya kami ke Bahrain selama 2 hari. Semuanya akan aku tuliskan di entri yang seterusnya. Entri kami ini akan aku muatkan dengan peristiwa yang berlaku sepanjang Bulan Ramadhan pada tahun ini. Ramadhan terakhir kami di Riyadh.

Walaupun tempoh berpuasa agak panjang namun ianya tidak begitu mencabar kerana kebanyakan masa kami habiskan di dalam rumah. Ini kerana cuacanya yang agak panas menyebabkan kebanyakan warga Riyadh berada di rumah sepanjang hari kecuali bagi yang bekerja. Malam pula agak pendek sekitar  8-9 jam menjadikan orang-orang Arab tidak tidur sepanjang malam. Mereka hanya tidur selepas subuh. Aktiviti Solat Tarawih memang meriah di semua masjid di sekitar Riyadh. Wanita-wanita tidak kira usia memenuhi ruang solat masjid terutama bagi masjid yang agak besar dan terkenal dengan bacaan imam yang terbaik. Antaranya Masjid Princess Lateefa bin Sultan, Masjid Ad Dakheel (Imam Sheikh Yasser al Dosari), Masjid Sheikh Nasir bin Abdullah, Sheikh Mohsin bin Mohaisin dan Masjid Umm al Hammam.

Masjid dekat rumah yang menjadi pilihan  di Bulan Ramadhan

Jiran-jiran yang kebanyakannya warga tempatan turut ke masjid.
Inilah masa dan peluang bersua muka dengan mereka.


Namun kami lebih memilih untuk bertarawih di masjid berdekatan rumah kami di mana bacaan imamnya tidak kurang hebatnya. Walaupun bilangan yang hadir tidak begitu ramai namun terasa kedamaian bersolat di situ. Ini kerana terdapat beberapa masjid lain yang sangat berdekatan antara satu sama lain. Pada malam ke 21, Solat Tahajud diadakan di masjid-masjid di Riyadh bermula pada pukul 1.00 pagi. Solat Tahajud sebanyak 4 rakaat di mana masa yang agak panjang diambil ketika rukuk, selepas rukuk dan sujud. Seolah Solat Tasbih panjangnya. Setiap solat dua rakaat mengambil masa selama 20 minit dan ianya sentiasa tepat. Solat witir sebanyak 3 rakaat dengan doa qunut yang panjang dan amat mendayu-dayu. Pengalaman yang akan menjadi kenangan dan amat dirindui tahun hadapan.....huhu.

Saffura bersama Minal, setiap hari ke sekolah bersama-sama.
Malam 27 Ramadhan merupakan malam terakhir kami bertarawih dan bertahajud di masjid tersebut. Imam solat menghadiahkan kepada kami bacaan Surah ArRahman yang sungguh sayu, terindah dan amat menyentuh kalbu. Air mata ini tidak  dapat ditahan lagi, aku biarkan ianya mengalir laju. Tidak perlu lagu mendayu ciptaan manusia, cukup ayat-ayat Allah yang mengingatkan manusia akan terlalu banyak nikmat yang diberikan kepada makhluk ciptaanNya. Doa yang dibaca oleh imam pada malam yang diyakini malam Laylatul qadar bagi masyarakat Arab juga amat mengesankan. Sedu sedan tangisan imam dan para jemaah wanita yang bersama kami jelas kedengaran. Moga Allah menerima setiap amalan dan doa semua. Detik perpisahan antara aku dan Pn Saidah juga berlaku pada pagi tersebut. Kami berpeluk erat, saling menangis kerana terpaksa berpisah setelah tiga tahun bersilaturrahim. Tidak pasti akan ada peluang untuk bertemu kembali.

Program sempena Bulan Ramadhan.

Beberapa hari sebelum Bulan Ramadhan muncul, suamiku, Dr Norizan dan beberapa lagi rakan seuniversiti telah diundang untuk rakaman di Saudi 2. Siaran televisyen milik kerajaan yang menggunakan Bahasa Inggeris sebagai medium penyampaian. Rakaman di adakan di Hotel Movenpick, Riyadh
Rakaman sedang dijalankan
Rakaman mengandungi temubual tetamu yang terdiri dari pelbagai bangsa yang bekerja di Riyadh. Temubual berkisar berkaitan dengan suasana berpuasa di Riyadh dan perbezaannya dengan di negara sendiri. Nostalgia dan apa yang dirindui ketika berada di perantauan turut disoal. Pengalaman berpuasa dan beribadat di Mekah juga turut menjadi topik perbualan. Senaman atau riadah turut ditanya, sesuatu yang agak popular di sini tetapi asing di Malaysia. Anak-anak muda serta kanak-kanak akan memenuhi pusat-pusat fitness yang banyak terdapat di Riyadh. Mereka berada di situ sehingga larut malam terutama bagi golongan lelaki. Ada juga yang berjalan kaki di taman atau laluan khas berhampiran jalan-jalan tertentu di waktu petang atau pada waktu malam.

Rancangan Muslim in Ramdhan tersebut disiarkan pada pukul 12.30 tengahari setiap hari sepanjang Bulan Ramadhan.

Siaran bersama Dr Norizan pada minggu ke dua Ramadhan


Siaran bersama Dr Mohd Sah pada minggu terakhir Ramadhan

Sempat melihat kuih raya orang Arab tetapi pada hari biasa pun ada dijual. Namun semasa Bulan Ramadhan lebih banyak kuantitinya.




Baklava dan pelbagai manisan lain.

Kami juga ke sekolah Saffura untuk mengambil semua dokumen asal yang telah diserahkan ketika pendaftaran dahulu. Juga keputusan peperiksaan akhir. Pada Bulan Ramadhan pejabat sekolah di buka pada waktu malam sehingga pukul 12.00. Sempat juga aku bergambar buat kenangan dengan ketua pegawai pentadbiran di sekolah tersebut Pn Mary  yang banyak menolong kami. Dia agak terkejut dengan berita yang kami akan kembali ke tanah air.





Dengan Pn Mary di dalam kawasan sekolah.
Walaupun berada di negara yang amat kurang turunnya hujan namun tiada masalah untuk mendapatkan air yang bersih untuk setiap urusan. Namun kami tidak digalakkan untuk mengambil air paip untuk dibuat minum atau memasak. Jadi kebanyakan keluarga akan membeli air untuk diminum dari syarikat pilihan masing-masing. Air dihantar dalam bekas khas yang mengandungi 10 liter air seminggu sekali menggunakan lori. Kupon diletakkan bersama bekas kosong di depan pintu rumah masing-masing. Air minuman di dalam botol besar seperti juga boleh dibeli dikebanyakan kedai runcit yang juga menyediakan perkhidmatan penghantaran ke rumah.

2 botol yang mahu diganti dan botol yang masih berisi air

Kupon yang dibeli. SR155 untuk 22 keping kupon.

Walaupun waktu siang begitu panas, pada waktu malam pula menjadi agak sejuk dengan tiupan angin yang menyegarkan dari kawasan gurun. Jadi tidak hairan jika warga Arab Saudi masih meneruskan aktiviti berkelah pada waktu malam. Tepi-tepi jalan atau kawasan kosong menjadi pilihan selain taman-taman sekitar. Pada malam di minggu pertama bulan Ramadhan , kami meninjau suasana waktu malam selepas Solat Tarawih di Al Bujairy yang terletak di Diriyah. seperti yang diduga, orang ramai mula mendatangi kawasan tersebut dan bilangannya semakin bertambah ketika kami mahu meninggalkan kawasan tersebut sekitar pada pukul 11.45 malam. Ruang parkir kereta yang luas di bawah tanah dan sekitarnya penuh. Cuaca amat nyaman dengan tiupan angin lembut, begitu mendamaikan. Baru aku faham kenapa mereka suka berkelah di waktu malam di musim panas.

Kawasan berumput hijau dipenuhi dengan keluarga
Mereka ke sini bersama keluarga yang ramai bilangannya, dari usia bayi sehingga kepada warga emas yang berkerusi roda. Membawa bersama pelbagai keperluan berkelah bagi tempoh yang lama seperti karpet, bantal sandar, teko tahan panas berisi minuman serta bekas-bekas makanan yang besar-besar belaka. Karpet dibentang di atas rumput menghijau yang terjaga rapi yang memenuhi kebanyakan ruang taman tersebut. Kanak-kanak pula  sibuk bermain dengan basikal dan permainan yang dibawa. Golongan dewa duduk di atas karpet dengan melakukan pelbagai aktiviti seperti berbual, melihat telefon bimbit atau menjamu selera. Tidak kelihatan aktiviti membaca di medan berkelah pada waktu siang atau malam hari. Aku amat yakin mereka akan berada di situ sehingga waktu sahur jika dilihat pada masa dan makanan yang dibawa.

Amat meriah suasananya
Pelbagai restoran berjenama, cafe dan kedai minuman serta ais krim
Masjid Sheikh Mohamed bin Abdulwahab


Pokok kurma berbuah lebat masih hijau.

Terdapat deretan kedai-kedai menjual pelbagai barangan kraftangan, seni dan barangan cenderahati yang selama ini susah untuk dicari di Riyadh. Apa lagi puas juga aku memilih pelbagai barangan buat kenangan dan hadiah. Yang penting, banyak pilihan  dan harga pun ok.



Juadah berbuka puasa di rumah yang 100% dimasak sendiri.



Citarasa Malaysia belaka

Juadah berbuka puasa popular di sini...tak pernah beli pun


zias/riyadh/16

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Raya 2024

BismillahirRahmanirRahim Hari raya kedua,  Kami bertiga bertolak ke utara dengan melalui lebuh raya WCE yang baru sahaja siap. Malangnya ber...