Selasa, 29 September 2015

Travelog : Oh! Riyadh (63)- Cuti Musim Haji 1436H


Cuti Musim Haji 1436H

Bagi mereka yang tidak berniat untuk mengerjakan haji pada tahun ini, cuti sempena musim haji memang dinanti. Cuti ini agak lama tempohnya selepas cuti musim panas. Ianya bermula pada 18/9/2015 sehingga 28/9/2015. Cuti ini adalah bagi sekolah dan universiti di Arab Saudi. Menariknya cuti sekolah disambung lagi atas arahan King Salman pada Hari Raya AidilAdha  sehingga 3/10/2015.

Kawan-kawan dan saudara mara ramai yang bertanya sama ada kami akan menunaikan haji lagi pada tahun ini. Berkali-kali aku menerangkan di Arab Saudi pun ada kuota juga. Kami hanya dibenarkan menunaikan haji sekali dalam tempoh lima tahun. Cukuplah sekali kami menunaikan haji pada tahun lepas untuk kali keduanya selepas 20 tahun. Kami bersyukur kerana tidak mengambil hak orang lain yang sedang menunggu begitu lama peluang bagi menunaikan kewajipan tersebut sekali seumur hidup. Di Malaysia ramai kawan dan saudara mara yang menunaikan haji beberapa kali tanpa rasa bersalah. Mungkin mereka rasa mereka mampu dari segi kewangan dan sebagainya namun peluang untuk menunaikan haji terlalu mahal terutama bagi mereka yang kurang mampu. Aku mendapat tahu kos untuk menunaikan haji bagi kali kedua adalah sekitar RM17,270 seorang. Untuk kali pertama hanya melibatkan kos sekitar RM9,980 seorang kerana ada subsidi. Aku yakin pihak Tabung Haji akan mengutamakan jemaah yang mahu menunaikan haji buat kali kedua dan seterusnya kerana ianya pasti memberi pendapatan tambahan kepada pihak Tabung Haji.

Di Arab Saudi, ada juga yang mengambil peluang menunaikan ibadah haji berulang-ulang kali sama ada secara rasmi atau secara curi-curi. Peringatan memang diberi oleh Kerajaan Arab Saudi supaya mereka yang tinggal di sini tidak mengerjakan haji secara haram. Denda yang berat akan dikenakan seperti dihantar pulang dan tidak dibenarkan kembali lagi ke sini. Peringatan dihantar melalui pesanan telefon bimbit. Di kaca televisyen juga dipaparkan supaya orang ramai  memberi peluang kepada tetamu Allah menjalankan ibadah haji dengan selesa dan tenang. Ini dengan cara mengelakkan diri dari memasuki Kota Mekah selagi belum selesai urusan ibadah haji. Namun ada yang tidak patuh kepada arahan tersebut dan dengan bangga menceritakan bagaimana mereka berjaya melakukannya berulang-ulang kali. 

Kami menghabiskan cuti kali ini dengan kembara di sebelah utara Arab Saudi dan seterusnya menyambut Hari Raya AidilAdha di Masjid Nabawi Madinah. Perjalanan selama 9 hari, sejauh hampir 4000 km memang agak mencabar dan banyak pengalaman yang menakjubkan untuk dikenang. Beberapa bandar kami singgah dan melihat sendiri kehidupan di sana yang sememangnya agak berbeza dengan Riyadh, Madinah, Mekah dan bandar lain yang pernah kami singgah di Arab Saudi. Kami mahu menggunakan kesempatan yang ada untuk menjelajah sebanyak mungkin bumi ini kerana peluang yang ada terlalu eksklusif. Ini kerana Arab Saudi tidak seperti negara lain yang boleh dimasuki untuk tujuan pelancongan. Visa untuk masuk ke Arab Saudi begitu terhad. Ianya hanya bagi tujuan untuk mengerjakan haji dan umrah. Juga visa untuk urusan business atau visa untuk bekerja di sini. Yang menetap untuk bekerja di sini pula boleh memohon visa untuk membawa keluarga terdekat seperti ibubapa dan anak-anak sahaja. Peluang yang ada mesti dimanafaatkan. In Shaa Allah. Kembara kami kali ini: Riyadh - Hail - Al Ula - Madain Saleh -Tabuk - Halit Ammar (sempadan Jordan) - Madinah - Buraidah - Unaizah - Riyadh. Entri Oh! Riyadh berikutnya pastilah berkaitan kembara yang telah kami lalui.






                                                                                                                                     zias/riyadh/15

1 ulasan:

  1. As salam kak apa yang menarik di hail saya dan family on d way nak ke hail .

    BalasPadam

Raya 2024

BismillahirRahmanirRahim Hari raya kedua,  Kami bertiga bertolak ke utara dengan melalui lebuh raya WCE yang baru sahaja siap. Malangnya ber...