Rabu, 16 September 2015

Travelog : Oh! Riyadh (62)- Dzulhijjah dan Musim Haji 1436H


Dzulhijjah dan Musim Haji 1436H

Banyak keistimewaan bulan Dzulhijjah yang sedang kita lalui ketika ini. Kebiasaannya bulan ini kita kaitkan dengan ibadah haji, korban dan seterusnya Hari Raya Aidil Adha. Bagi yang tidak menunaikan haji kebiasaannya akan mengerjakan puasa pada 9 Dzulhijjah dan  melaksanakaan ibadah korban. Bulan Dzulhijjah yang menjadi penutup kalendar bulan Islam ini menawarkan pelbagai ganjaran terutama pada 10 hari pertama di dalam bulan tersebut.



Tahun lepas kami sekeluarga begitu sibuk dengan persediaan untuk menunaikan ibadah haji terutama di awal bulan Dzulhijjah. Tahun ini pula kami membuat perancangan untuk memenuhi cuti panjang yang akan berlangsung selama lebih kurang sepuluh hari. Pelajar sekolah dan universiti akan menikmati cuti tersebut. pada 18 sehingga 28 September. Ada yang mengambil peluang balik ke kampung terutama bagi mereka yang tidak berkesempatan untuk berbuat demikian sewaktu cuti musim panas baru-baru ini. Ada juga yang bercuti ke luar dari Arab Saudi seperti ke Dubai, Eropah dan sebagainya. Kami pula akan menghabiskan cuti kali ini dengan kembara ke bahagian sebelah  utara Arab Saudi. Seterusnya menyambut hari raya di Madinah buat pertama kalinya. Ramai sahabat-sahabat yang lain turut merancang untuk beraya di Madinah, In Shaa Allah. Pada hari terakhir persekolahan, sekolah Saffura mengadakan acara khas berkaitan dengan ibadah haji.  Saffura turut diberi tanggung jawab menyediakan replika Telaga Air Zam Zam.

Para tetamu Allah yang terpilih untuk menunaikan ibadah haji semakin ramai di Kota Mekah. Walau pun tragedi baru berlaku di sana, ianya tidak sesekali mematahkan semangat para tetamu Allah untuk meneruskan ibadah. Siaran televisyen Saudi -2 menyiarkan pelbagai program berkaitan dengan ibadah haji termasuk pelbagai panduan yang perlu diikuti. Aku sempat menonton dokumentari berkaitan dengan haji sekitar tahun 1938M. Filem lama itu begitu menarik sekali. Rasa begitu bersyukur dengan begitu banyak kemudahan yang kita nikmati pada masa ini berbanding dengan zaman tersebut. Semua program di Saudi-2 adalah dalam bahasa Inggeris.

Keluarga sebelah suami meraikan Abang Basri dan isteri.
Dua ahli keluarga kami turut terpilih untuk menjadi tetamu Allah pada musim haji tahun ini. Anak saudarku, Wan Suhana bersama suaminya berpeluang buat kali kedua. Untuk menunaikan haji bagi kali kedua mereka perlu membayar sebanyak RM17,500 seorang. Ini disebabkan subsidi hanya diberi untuk mereka yang akan menunaikan haji untuk kali pertama sahaja. Abang iparku, En Basri dan isteri juga beroleh peluang yang sama tetapi mereka mendapatkan khidmat pakej yang bernilai RM35,000 seorang. Aku mendapat tahu ianya merupakan nilai paling murah di Tabung Haji Travel. Ada pakej yang bernilai RM50,000 sehingga RM100,000. Apa pun nilai yang perlu dibayar, pasti ada ganjaran dari Allah. Semoga semua beroleh haji mabrur. Bagi yang belum berkesempatan untuk menjadi tetamu Allah teruskan usaha bersungguh-sungguh untuk mengumpul rezeki serta berdoa supaya impian tercapai satu hari nanti. In Shaa Allah.



                                                                                                                                          zias/riyadh/15

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Raya 2024

BismillahirRahmanirRahim Hari raya kedua,  Kami bertiga bertolak ke utara dengan melalui lebuh raya WCE yang baru sahaja siap. Malangnya ber...