Isnin, 14 September 2015

Dapurku D'Riyadh (48) - Nasi Lemak Al Ghadeer


Nasi lemak kerap kali menjadi hidangan kami di hujung minggu. Di BTHO, terdapat beberapa buah gerai yang menjual nasi lemak. Gerai-gerai sepanjang laluan di Suadamai menawarkan nasi lemak sesi pagi dan petang. Memang aku jarang masak nasi lemak dan kerap membeli makanan kegemaran Saffura ini di gerai-gerai tersebut. Di Riyadh terdapat Warung Kak Yus Riyadh yang juga menawarkan pelbagai hidangan cita rasa Malaysia seperti nasi lemak, nasi ayam, meehoon goreng, nasi kerabu dan sebagainya. Warung alam maya ini hanya terhad penghantarannya di kawasan tertentu sahaja dan kebiasaannya memenuhi pelanggan yang rata-ratanya adalah jururawat yang bertugas di hospital. Warung ini juga menerima tempahan untuk jamuan.

Promosi nasi ayam dari Fb Warung Kak Yus Riyadh
Aku memang selalu gagal menyediakan nasi lemak yang sedap. Setelah beberapa kali mencuba akhirnya aku berjaya menyediakan nasi lemak sesuai dengan selera Saffura. Sekarang nasi lemak menjadi masakan pilihanku setiap minggu dan lebih mengembirakan ianya sentiasa licin. Untuk menyediakan sambal ikan bilis tidak menjadi masalah kerana aku mendapat resepi dari keluarga sebelah suami. Orang Melaka memang terkenal pandai menyediakan sambal goreng yang bukan sahaja sedap tetapi cantik dipandang.

Bismillahirrahmanirrahim

Resepi Nasi Lemak
Bahan2nya:
2 cawan beras basmati (basuh dan rendam 1/2 jam)
3 cawan santan sederhana pekat (aku lebih suka guna santan serbuk
kerana ianya akan menghasilkan nasi yang putih warnanya)
1 helai daun pandan (jika tiada gunakan sebatang serai)
Garam secukup rasa
Sedikit halia yang dihiris
Sedikit bawang besar yang dihiris halus
Sedikit halba

Cara Membuatnya:
Masukkan semua bahan di atas ke dalam periuk nasi elektrik dan 
biarkan sehingga masak.

Resepi Sambal Ikan Bilis
Bahan2nya:
1 senduk kecil cili kering yang dikisar halus
Ikan bilis
2 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
Air asam jawa
Garam. gula dan minyak

Cara Membuatnya:
1. 1 biji bawang besar dikisar bersama dengan bawang putih .
2. 1 biji bawang besar dihiris nipis
3. Panaskan minyak di dalam kuali dan masukkan bawang hiris,
    goreng hingga agak garing.
4. Masukkan bawang yang dikisar dan goreng sehingga naik bau.
5. Masukkan cili kisar , garam dan gula. Kacau sehingga betul-
    betul garing. Masukkan ikan bilis dan air asam.
6. Selepas mendidih, perlahankan api sehingga pecah minyak.
    Jika suka boleh masukkan hirisan bawang yang dibelah.


*Hidangkan nasi lemak bersama ikan bilis goreng, kacang tanah goreng,
  telur rebus dan timun.







Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Raya 2024

BismillahirRahmanirRahim Hari raya kedua,  Kami bertiga bertolak ke utara dengan melalui lebuh raya WCE yang baru sahaja siap. Malangnya ber...