Ahad, 11 Jun 2017

Rasa Dapurku (230) - Kuih Bakar Manis,

Kuih Bakar Manis

BismillahirRahmanirRahim

Tazkirah malam ke 17 Ramadan memaklumkan kepada para jemaah agar berusaha mendapatkan pahala dengan mudah. Pahala yang boleh diperolehi dengan sekadar melihat sahaja iaitu melihat ayat Al Quran, memandang Kaabah,  merenung wajah ibu dan ayah serta meneguk lautan yang luas. Membaca Al Quran merupakan ibadah yang amat besar ganjaran pahalanya di bulan Ramadan. Jika tidak sempat membaca, kita boleh mendengar melalui pelbagai sumber. Jika tidak sempat juga bolehlah kita merenung ayat-ayat cinta dari Allah SWT yang terkandung di dalam Al Quran. Setiap detik di bulan Ramadan amat berharga, jangan disia-siakan begitu sahaja. Ingatan ini untuk diri yang sering lupa.




Kuih Bakar Manis antara kuih yang popular di Melaka. Alhamdulillah ada yang sudi memberi resepi yang sangat sedap ini. Namun ada bahan rahsia yang tidak dibenarkan aku menyatakannya di sini. Aku akur pada tuan punya resepi ini kerana ianya menjadi sumber pendapatan keluarganya. Semua bahan yang diberi adalah tepat kecuali bahan untuk menjadikan kuih ini berbau lebih sedap sahaja tidak aku sertakan. Lama juga aku menyimpan resepi ini kerana ketiadaan acuan sehinggalah Ramadan menjelang. Ianya menjadi juadah berbuka bersama keluarga di Melaka. Testimoninya memang A+.

Resepi Kuih Bakar Manis
Bahan2:
Untuk 3 biji kuih
1 cawan tepung gandum (jangan rata biar membumbung)
1 cawan telur (dalam 4 biji telur sederhana)
1 1/2 cawan gula
2 cawan santan*
10 helai daun pandan*
Bahan * dimesin bersama  dan  ditapis
Bijan secukupnya
Minyak masak untuk disapu pada acuan


Cara Membuatnya:
1. Kisar sehingga halus tepung gandum, telur, gula dan santan bersama
    daun pandan. Tapis adunan dan masukkan  ke dalam sebuah bekas yang sesuai.
2.Panaskan acuan dan sapukan dengan minyak.
3.Setelah acuan panas, masukkan adunan sehingga paras acuan.(guna api sederhana)
   Taburkan bijan di atasnya.
4.Masak sehingga 1/2 masak dan bahagian bawah menjadi warna perang.
5.Keluarkan dan masukkan ke dalam oven. Bakar menggunakan api atas pada suhu
   180 C. Bakar sehingga masak. 
6.Keluarkan dan ulangi sehingga adunan habis.





Kuih Bakar Manis dan Korma Ayam dibawa bersama.
Seronoknya berbuka puasa di kampung.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Raya 2024

BismillahirRahmanirRahim Hari raya kedua,  Kami bertiga bertolak ke utara dengan melalui lebuh raya WCE yang baru sahaja siap. Malangnya ber...