Selasa, 6 Jun 2017

Rasa Dapurku (228) - Krim Karamel

Krim Karamel

BismillahirRahmanirRahim

Hari-hari di bulan Ramadan terasa begitu cepat berlalu. Semoga kita terus istiqamah melalui hari-hari mendatang kerana ianya lebih banyak cabaran. Rasa gembira kerana dipilih Allah SWT sebagai tetamu di bulan mulia ini seharusnya menjadikan kita insan yang bersyukur. Lantas memberi iltizam untuk kita terus membuat kebaikan walau sebesar zarah dan memperbanyakkan ibadah.

Krim Karamel memang sesuai untuk dijadikan juadah berbuka puasa. Sebenarnya aku memang malas untuk menyediakan manisan ini kerana kerap kali gagal. Kebanyakan resepi yang dicuba ada sahaja masalahnya. Pun begitu aku mahu terus juga mencuba kerana ada yang amat berminat dengan manisan ini. Kebetulan ada rakan bekerja Pn Noorini yang kerap menjamu kami dengan resepi ini jika ada jamuan di bilik guru. Aku bertanya resepi dan Pn Noorini terus memberinya. Lama aku simpan resepi tersebut kerana tidak yakin ianya akan memberi hasil yang memuaskan.





Rezeki bulan puasa, menjadi pula krim karamel yang aku buat kali ini. Walaupun teksturnya tidak licin seperti yang biasa dilihat, aku tetap berpuas hati kerana rasanya yang lembut, sedap dan boleh dipotong dengan cantik. Aku tidak berani mengubah arahan yang diberi dalam resepi, mungkin di kesempatan lain aku akan cuba menggunakan teknik memasak secara water bath di dalam oven ( di mana loyang diletakkan di dalam loyang yang lebih besar berisi air dan dibakar ada suhu 170 C) bukan secara kukus.

Resepi Krim Karamel
Bahan2:
Bahan untuk karamel
5 sudu besar gula 

1.Masukkan gula di dalam loyang yang sesuai(6 inci)
2.Panaskan di atas api sehingga gula cair dan menjadi perang.
3.Ratakan gula perang sebelum ianya membeku. Sejukkan.


Bahan 
5 biji telur gred A
3 1/2 sudu besar gula
1 sudu besar esen vanila
1 tin susu cair F&N

1.Masukkan susu cair, telur, gula dan esen vanila ke dalam sebuah bekas yang sesuai, kacau sehingga gula hancur. Kacau perlahan sahaja, jangan sampai kembang.
2.Tapiskan adunan ke dalam loyang. 
3.Kusus selama 30 - 45 minit. dengan api sederhana. Pastikan penutup periuk
kukus dibalut dengan kain. Sejukkan.
4.Setelah sejuk boleh diterbalikkan.


Taadaaaa....... Terima kasih Pn Noorini!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Raya 2024

BismillahirRahmanirRahim Hari raya kedua,  Kami bertiga bertolak ke utara dengan melalui lebuh raya WCE yang baru sahaja siap. Malangnya ber...