Sabtu, 3 September 2016

Travelog : Oh! Riyadh (125) - Sempat Ke Al Baha.


Sempat Ke Al Baha

Pintu Gerbang 


Selepas kecewa tidak berpeluang melawat ke tempat membuat Kiswah Kaabah, suamiku berehat sebentar di tepi jalan raya berhampiran sebuah stesen minyak. Suamiku melihat telefon bimbitnya, agak lama juga. Aku pula asyik memerhati kawasan sekitar dengan bangunan yang agak berusia. Sedang Saffura mula berbaring tidak tahu apa yang hendak dibuatnya. Aku terpandang papan tanda jalan yang tertulis AMENA BINT WAHAB ST. Nama Bonda kesayangan Rasulullah SAW diabadikan di situ. Teringat Sirah berkaitan Rasulullah SAW yang pernah aku baca dan diulangi beberapa kali namun tidak pernah jemu. Sayang sekali tempat-tempat bersejarah yang berkaitan Rasulullah SAW agak sukar untuk diziarahi. Ini kerana tiada papan tanda atau promosi yang membolehkan kita berkunjung ke tempat seumpama itu. 


Hanya nama-nama jalan yang ditemui mendekatkan ingatan kita kepada keluarga dan para sahabat baginda. Di Riyadh misalnya, jalan-jalan yang tertulis nama para sahabat seperti Saidina Abu Bakr AsSiddiq, Saidina Usman Affan dan  Anas Bin Malik merupakan jalan-jalan yang kerap kami lalui. Ini kerana ianya merupakan salah satu laluan yang perlu kami ambil untuk ke Pusat Bandar Riyadh. 

"Jauh sangat Abha dari sini." Tiba-tiba suamiku bersuara.
"Abang mahu ke sana ke?"Soalku kehairanan. Selama ini puas juga aku mengajaknya untuk ke sana namun suamiku lebih mendengar nasihat pelajar-pelajarnya yang melarangnya untuk ke sana. Ini disebabkan peperangan yang berlaku di sempadan Arab Saudi dan Yaman. Berlaku beberapa kejadian tembak menembak di Abha sejak berlaku peperangan yang menyebabkan pusat peranginan yang terkenal itu menjadi kurang selamat untuk dikunjungi.
"Mekah ke Abha lebih kurang 600 kilometer, dalam  jam  6 jam lebih perjalanan." Sambung suamiku lagi.
"Jauh juga tu, jika dari Riyadh ke Abha dalam 950 km." Balasku dengan nada kecewa.
"Sekarang sudah pukul 11.00 lebih, tak sempat." Suamiku berkata sambil mata masih melihat telefon bimbitnya.
"Kalau macam tu, kita pergi ke Al Baha, dekat sikit. Al Baha terletak di dalam perjalanan ke Abha dari Taif." Aku memberi cadangan. Hatiku melonjak gembira mahu pergi makan angin. Sekali lagi suamiku mencari maklumat melalui telefon bimbit jenama Samsung yang baru dibelinya. Samsung A7 itu kami beli di Jarir Bookstore dengan harga tawaran istimewa SR1499.
"Ok, Mekah ke Al Baha jaraknya dalam 300 kilometer. Dalam 3 jam setengah boleh sampai." Suamiku kelihatan ceria dan terus mahu memulakan perjalanan ke Al Baha.

Al Baha terletak di baratdaya Arab Saudi antara Mekah dan Aseer.

Pemandangan sekitar Kota Mekah. Susunan rumah berbatu merah yang memenuhi
kawasan berbukit menarik perhatian kami 


Kami menaiki lebuh raya yang merentasi kawasan pergunungan untuk ke Al Hada, Taif. Pengalaman kali ke empat menaiki lebuh raya yang mencabar itu menjadikan suamiku lebi berpengalaman dan kami sampai di puncaknya lebih cepat dari biasa. Jarak dari Mekah ke Al Hada adalah sejauh 60 km. Suhu sekitar terasa nyaman, berbeza dari suhu yang panas melebihi 40 C di Mekah. Suasana berhampiran gerai jualan buah-buahan begitu meriah dengan pelawat. Kawasan hijau di kiri dan kanan jalan raya dipenuhi orang ramai yang sedang berkelah.

Bestnya dapat berkelah.



Pusat hiburan belum memulakan operasi


Kami mencari jalan menuju ke Al Baha. Lega apabila melihat papan tanda menuju ke Al Baha, lebih yakin.

Jarak Al Baha selepas Taif.

Kami merentasi kawasan berbukit, sesekali kawasan lapang dipenuhi padang pasir. Sempat melihat segerombolan kambing biri-biri melintasi jalan. Kambing biri-biri  berwarna putih dengan bulu yang semakin nipis kelihatan begitu berdisiplin untuk melintas jalan. Dikawal oleh pegembala kambing...teringat Rasulullah yang juga pernah melaksanakan tugas seperti itu. Seronok kami melihat kambing biri-biri tersebut maklumla selama ini kami hanya mampu melihat kambing-kambing dari kejauhan. Juga unta-unta yang berkeliaran yang begitu dekat dengan jalan.

Mahu melintas jalan.



Kambing biri-biri


Unta hitam



Semakin banyak kawasan pergunungan.

Semakin tinggi gunung-gunung yang ditemui


Singgah di kedai berhampiran stesen minyak untuk membeli
makanan dek kelaparan.

Semakin tinggi gunung-gunung yang ditemui

Di satu kawasan kelihatan lebah-lebah diternak untuk mendapatkan madunya. Sempat kami melihat gerai-gerai menjual madu yang pelbagai jenis. Kebanyakan penjual adalah warga asing. Disebabkan kawasan menjual tersebut agak terasing tanpa sebarang penempatan di sekitarnya jadi kami tidak berani untuk singgah bertanya. Puas kami dilambai oleh penjual-penjual yang ramai di situ. Rupanya mereka berniaga dan tinggal di rumah-rumah kecil berwarna kuning di situ.

Gerai yang unik bentuknya


Deretan gerai menjual madu
Pelbagai jenis madu ada dijual

Kelihatan kawasan memelihara lebah di sepanjang jalan
Jalan raya yang kami lalui mula menaiki kawasan yang lebih tinggi. Kelihatan tempat rehat untuk kegunaan orang ramai berehat sambil menikmati pemandangan dari kawasan tinggi. Malangnya kami tidak boleh singgah kerana mengejar masa untuk sampai di Al Baha. Papan tanda beberapa kawasan rekreasi juga kelihatan di sepanjang jalan. Al Baha begitu terkenal dengan kawasan hutan yang banyak dan luas seperti Raghdan. al Zaraeb dan Baldan.



Hujan turun dengan lebatnya setiba kami di Al Atawlah, Al Baha. Suhu persekitaran menunjukkan angka 15 C seperti yang tertulis di skrin dalam kereta. Terasa begitu sejuk sedang di  kebanyakan daerah Arab Saudi sedang mengalami musim panas yang ekstrem. Jalan raya dan bumi sekitarnya basah lencun dengan air hujan yang banyak.


Hujan sangat lebat....Alhamdulillah, sejuk sedikit


Segalanya basah....

Meneruskan perjalanan menuju ke pusat bandar Al Baha, kami terpegun melihat kebanyakan rumah dibina atas bukit-bukit. Tidak dapat dibayangkan bagaimana rumah-rumah tersebut mendapat bekalan air bersih untuk kegunaan seharian. Ini disebabkan rumah-rumah tersebut terletak dia atas kawasan yang agak tinggi.
Pemandangnyaa yang cantik seolah berada di negara beriklim sejuk. Begitu indah dan memukau dengan kawasan pergunungan yang luas. 

Tinggi betul kedudukan rumah.
Tinggi kan!
Rumah-rumah berselerak di atas bukit.
Naik turun kawasan berbukit


Rumah-rumah besar dan berwarna cantik kelihatan.

Layan aje ....














Dicelah-celah kawasan rumah, terdapat binaan bersejarah yang tidak digunakan lagi. Namun terbiar dengan jumlah yang agak banyak. Ianya adalah menara yang dikenali sebagai 'qasaba'. Simbol terkenal bagi daerah Asir.



Kedudukan qasaba di celahan bangunan lain


Tinggalan sejarah

Menara yang mungkin berfungi untuk mellindungi kediaman,
tanaman atau jalan-jalan.

Mercu tanda di Al Baha
Mercu tanda berbentuk menara
Akhirnya kami tiba di pusat bandar Al Baha. Al Baha terkenal sebagai pusat pelancongan yang diminati ramai. Walaupun bandarnya tidak sebesar Taif, kelihatan banyak hotel-hotel dibina di pinggir bukit. Ianya memberi peluang kepada pelancong untuk menikmati pemandangan yang sungguh menarik. Al Baha memiliki kecantikan luar biasa dengan hutan, kawasan hidupan liar, lembah dan gunung yang mampu menarik minat pelancong dari Arab Saudi dan sekitarnya. Selain memiliki lebih 40 kawasan hutan, Al Baha juga terkenal dengan tempat-tempat bersejarah dan arkeologi. Suhunya yang nyaman sepanjang tahun, sekitar 12 C hingga 23 C disebabkan kedudukannya yang berada di paras 2,500 meter (8,200 kaki) dari paras laut. Suhunya tidak terlalu panas di musim panas dan agak sejuk di musim dingin menarik perhatian pelancong untuk menikmati cuaca yang selesa serta pemandangan indah. Taburan hujannya yang agak tinggi menjadikan Al Baha terkenal sebagai kawasan pertanian.

Pusat Bandar Al Baha
Sekitar Al Baha

Sekitar Al Baha


Rumah-rumah dibina agak rapat antara satu sama lain
Di sekitar kawasan rumah terdapat kebun-kebun sayur 
Pokok kaktus sudh mengeluarkan buah....boleh dimakan ni.

Lapar...singgah beli nasi.


Pemandangan Indah....seolah di luar negara..

Pokok-pokok memenuhi kawasan berbukit

Luas betul kawasan pergunungannya
Macam tidak percaya...Ini di Arab Saudi!



Bayangkan jika ada snow di atas pergunungan ini!
Cantik sungguh....kami begitu terpukau dengan pemandangannya


Kami begitu sibuk mahu mengambil gambar terbaik untuk merakamkan keindahan Al Baha dari semua sudut. Saffura dengan kamera Nikonnya mampu mengambil gambar dari jarak jauh. Dalam mencari tempat yang sesuai untuk mengambil gambar, kami tersilap langkah. Suamiku tidak perasan terdapat laluan berlubang berhampiran jalan sewaktu mahu parkir kereta di situ. Kegirangan kami terhenti seketika apabila tayar kereta kami tersangkut di dalam lubang tersebut. Kami bertiga terpaksa keluar dari kereta dan apabila diperiksa, lubang tersebut agak dalam. Ya Allah....dugaan . Namun kami tidak merasa risau pula.

Kereta tersangkut, ada yang sudi membantu


Alhamdulillah. Sekejap sahaja ada yang datang membantu. Sebuah kereta dengan empat penumpang di dalamnya berhenti, mereka terus keluar untuk membantu. Sebuah kereta pacuan empat roda yang dipandu oleh seorang anak muda tempatan turut menghampiri kawasan tersebut dan melihat apa yang berlaku dari tempat duduk pemandu di dalam keretanya. Aku dan Saffura tidak melepaskan peluang terus mengambil gambar-gambar pemandangan indah sekitar kawasan tersebut. Meninggalkan suamiku dengan mereka yang begitu gigih mahu membantu.

Empat lelaki berbangsa Pakisatan berjaya menolak kereta sewa kami keluar dari lubang tersebut. Setelah memastikan semuanya selamat, pemuda berbangsa  Arab tadi turut meninggalkan kawasan tersebut. Sepanjang berada di Arab Saudi, kami tidak menghadapi masalah jika berhadapan dengan kecemasan yang melibatkan kereta. Walaupun bangsa Arab dan Pakistan terkenal dengan sikap yang agak kasar tapi bab mahu menolong mereka adalah yang terbaik. Itulah kenangan manis yang tidak mudah untuk dilupakan.

Gambar yang diambil  dari tempat kecemasan



Kambing biri-biri bebas bergerak di kawasan berbukit.


Memang cantik pemandangan di sini.

Cuaca yang agak mendung menjadikan suasana petang agak gelap jadi kami tidak mahu berada lebih lama di Al Baha. Kami perlu kembali ke Mekah dengan segera. Walaupun kami singgah hanya sekejap namun kami begitu berpuas hati dengan apa yang kami lihat di Al Baha. Menyesal pula rasanya kerana tidak ke Al Baha lebih awal. Bagi mereka yang berpeluang tinggal lama di Arab Saudi, berkunjunglah ke Al Baha kerana tempat tersebut sungguh istimewa dan berbeza.

Di dalam perjalanan pulang, kami singgah di sebuah kawasan  rehat yang agak ramai pelawatnya. Sekali lagi kami dihidangkan dengan pemandangan kawasan pergunungan yang amat luas. Terdapat batu-batu yang berbagai bentuk di situ.


Batu pejal

Posing jap


Tumpuan kanak-kanak

Selepas pukul 5.00 petang kami bergerak untuk kembali ke Mekah. Banyak kenderaan yang turut berada di jalan raya ketika di dalam perjalanan. Lebih kurang pukul 9.00 malam kami tiba di Al Shohadah Hotel.

Kawasan R & R yang sempat kami singgah




zias/Cheras/16

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Raya 2024

BismillahirRahmanirRahim Hari raya kedua,  Kami bertiga bertolak ke utara dengan melalui lebuh raya WCE yang baru sahaja siap. Malangnya ber...