Rabu, 14 September 2016

Dapurku D'Riyadh(194) - Birds Nest Kunafa



BismillahirRahmanirRahim


Lama sungguh aku tidak menambah koleksi resepi di Dapurku D'Riyadh. Sudah hampir dua bulan aku dan keluarga kembali ke Malaysia. Kepulangan kami ke tanah air kali ini bukan untuk bercuti seperti sepanjang 3 tahun yang lepas. Tamat sudah kembara kami di Riyadh selama 3 tahun lamanya. Aku juga sudah mula bekerja selepas bercuti tanpa gaji selama 3 tahun. Tiba masanya aku terpaksa akhiri koleksi resepi di dalam Dapurku D'Riyadh kerana aku sudah tidak lagi tinggal di Riyadh. Sedih rasanya untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Dapurku D'Riyadh namun apa kan daya. Aku berazam untuk terus menghasilkan entri baru yang berkaitan dengan resepi pilihan namun belum bertemu tajuk yang sesuai.

Birds Nest Kunafa merupakan manisan Arab yang amat popular di Riyadh. Namun ianya tidak sebanyak yang aku lihat ketika berada di Istanbul. Kunafa berbentuk sarang burung sentiasa dijual di kebanyakan mall atau kedai manisan Arab. Ianya selalu dijadikan buah tangan apabila berkunjung ke rumah sahabat handai atau saudara masa sewaktu majlis keraian.  Dijual mengikut berat tertentu dan diisi di dalam bekas yang khas. Tidak seperti Kunafa yang berinti cream cheese di dalamnya, kunafa berbentuk sarang burung ini mampu bertahan dalam tempoh yang agak lama. Beberapa kali juga aku membelinya kerana aku memang sukakannya. Pernah aku membeli dan membawa pulang ke tanah air untuk dicuba oleh saudara mara. Namun ramai yang kurang mengemarinya kerana rasanya yang amat manis kecuali beberapa saudara yang pernah merasainya di tempat lain.

Kunafa dan Baklava yang pernah aku beli. Sebulan juga baru boleh dihabiskan.

Kunafa sahaja, semakin diminati menjelang hari raya.

Kunafa berbentuk sarang burung ini biasanya diisi dengan pelbagai jenis kekacang seperti gajus, badam dan pistacio. Rasanya memang manis kerana disiram dengan air gula sebaik sahaja dikeluarkan dari oven. Apabila aku menyediakannya sendiri, aku tidak menyiramnya dengan air gula jadi rasanya tidak terlalu manis. Ketika menyediakan resepi ini, hanya gajus  yang  ada di dapurku. Aku juga tidak mahu membeli kekacang lain memandangkan tempoh untuk berada di Riyadh semakin pendek. Aku juga memasukkan inti cream cheese yang aku gunakan untuk menyediakan Kunafa sebelumnya. 



Resepi Birds Nest Kunafa
Bahan2:
200 g doh kunafa (nyahbekukan dan balut dengan
kain lembab supaya ianya tidak kering)
100 g mentega dicairkan
Sedikit Badam, Gajus atau Kacang Pistacio

Air Gula
1 cawan gula pasir
1 cawan air
1/2  sudu besar jus lemon
Masak sehingga larut dan sedikit pekat.

Cara Membuatnya:
1.Doh kunafa dileraikan supaya menjadi dalam bentuk
   kepingan nipis dan memanjang.

Doh Kunafa

2.Susun di dalam sebuah bekas dan sapukan dengan mentega
   cair supaya agak basah.


3.Gulungkan doh kunafa menggunakan jari, ikut saiz yang dikehendaki.


4.Susunkan doh kunafa yang berbentuk sarang burung tersebut di atas
    loyang pembakar. Masukkan gajus, badam atau kacang pistacio
    di atasnya.


5.Panaskan oven pada suhu 180 C. Bakar kunafa sehingga masak atau
   kekuningan.
6.Keluarkan dan tuang air gula dipermukaannya (jika suka).
  




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Raya 2024

BismillahirRahmanirRahim Hari raya kedua,  Kami bertiga bertolak ke utara dengan melalui lebuh raya WCE yang baru sahaja siap. Malangnya ber...