Jumaat, 9 Februari 2018

Rasa Dapurku (262) - Pecal



BismillahirRahmanirRahim

Sudah lama teringin makan pecal...ehmmm. Semangat untuk mencuba berkobar-kobar apabila rakan sekerja sibuk mencuba kuah pecal segera yang dijual. Mudah sangat untuk menyediakan kuahnya tambahan pula ada tempe yang baru dibeli.

Pecal lebih sedap jika dimakan bersama pucuk daun betik, kangkung atau pucuk ubi kayu yang direbus. Malangnya semua sayuran kampung tersebut tidak ada. Aku usahakan juga mencari kacang panjang sedang sengkuang memang sudah aku beli. Oklah tu. Janji sedap.





Resepi Pecal
Bahan2 untuk kuah

200 g kacang tanah 
10 biji cili kering
4 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
5 biji cili padi
2 helai daun cekur
Air asam jawa
Air gula Melaka/merah 
Garam

Cara Membuatnya:
1.Bakar kacang tanah pada suhu 180 C sehingga masak. Sejukkan.
2.Cili kering, bawang merah, bawang putih dan cili padi digoreng dengan
   sedikit minyak di dalam kuali.
3.Kisar kacang tanah yang sudah masak bersama bahan yang digoreng dan
   daun cekur sehingga hancur.
Pokok cekur yang aku tanam.


Siap bahan kisar

4.Masukkan bahan yang dikisar ke dalam sebuah kuali, tambah air secukupnya.
5.Panaskan dan masukkan air asam jawa, air gula merah dan garam.
6.Biarkan sehingga pekat menggunakan api sederhana. 

Sayur-sayuran:

Sengkuang
Timun
Tauhu goreng
Tempe goreng
Kacang panjang dipotong dan direbus sekejap
Tauge dan sebagainya.


Jom makan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Iftar Ramadan Di Klana Beach Resort Port Dickson

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah berpeluang menikmati pelbagai hidangan sewaktu berbuka puasa di Klana Beach Resort Port Dickson berta...