Isnin, 31 Ogos 2015

Travelog : Oh! Riyadh (59)-Kembali Ke Riyadh


Kembali Ke Riyadh


Tempoh balik kampung selama 6 minggu berlalu dengan begitu pantas sekali. Kami lebih banyak menghabiskan masa di kampung berbanding di rumah sendiri. Hasrat rakan sekolah untuk berkunjung ke rumah bagi menikmati nasi Arab tidak mampu aku tunaikan. Sebenarnya aku agak malas untuk mengemas dapur pada tahun ini memandangkan kami tidak lama berada di Malaysia. Pengalaman tahun lepas menjadikan aku agak serik kerana kepenatan walau pun hati gembira menerima kedatangan tetamu yang tidaklah begitu ramai. Sempat berkunjung ke rumah sahabat seperti Pn Hjh Afifah, Dato' Dr Suriyakhatun dan Pn Hjh Faridah sempena hari raya. Juga menziarahi Tn Hj Jailani dan Pn Hjh Rosnani di malam terakhir di Kuala Lumpur. Aku juga dikunjungi oleh bekas pelajar di waktu pagi sebelum terbang pada malamnya. Mujurlah mereka datang membawa murtabak Singapura sebagai buah tangan yang kemudian menjadi hidangan untuk mereka sendiri. Alhamdulillah mereka sudah mendapat tempat untuk melanjutkan pelajaran dan Nurafiqah akan melanjutkan pelajarannya di England.

Bersama sahabat dan penasihat kesihatan,
 Dato' Dr Suriya
Group Haji 1435H bertamu di rumah Pn Hjh Afifah (Kak Afi) di Seremban 2
Dari kiriAsma', Dr Zu, Dr Syarifah, Kak Afi, Dr Azlinor dan mertua Dr Syarifah.
Di rumah sepupu sebelah suami di Pulau Pinang
Pak Uda masih gigih untuk menyiapkan PhD, di rumahnya
di Lumut, Perak.
Ex- students yang sentiasa ceria dan menghiburkan Nurafiqah,
Nurul Syakinah, Nur hamizah, Sharifah Nurulafina dan Nur Shafikah.
Sempat hadir ke majlis kesyukuran jiran, Kak Pah
atas kelahiran cucu sulung.

Sempat berkelah dan mandi manda di Teluk Kemang,
Port Dickson.


Sayang, aku kerap kali terlupa untuk merakam gambar buat kenangan pada setiap pertemuan kerana asyik bercerita. Ada yang berhasrat untuk berkunjung ke rumah kami di Riyadh sementara kami masih di sini. Haha ..kami hanya ketawa panjang sedang yang bertanya merasa kecewa. Arab Saudi bukanlah negara yang mudah untuk dimasuki seperti negara-negara lain di dunia. Tidak ada istilah melancong ke Arab Saudi. Yang ada hanya visa untuk bekerja (atau mesyuarat) dan menunaikan ibadah haji atau umrah dan ziarah ke Madinah. Bagi pekerja yang tinggal di Arab Saudi dibenarkan memohon visa lawatan untuk keluarga terdekat seperti ibubapa,isteri dan anak-anak sahaja.

Seperti tahun lalu, aku mengemas sebaik mungkin rumah yang bakal ditinggalkan lagi untuk tempoh masa setahun. Hanya kepada Allah kami memohon supaya rumah kami dilindungi dari sebarang mara bahaya. Untuk jiran terdekat juga aku meminta jasa baik untuk melihat keadaan rumah kami.

Sempat merasa buah pisang yang tumbuh subur di belakang
rumah walau pun tiada penghuni setahun lamanya.
Aloe vera juga kekal subur. Aku sempat
membawa anaknya ke Riyadh.

Penerbangan ke Abu Dhabi  memakan masa selama 6 jam 30 minit dengan Etihad yang menduduki tempat ke enam dalam senarai syarikat penerbangan terbaik dunia pada tahun 2015. [1. Qatar Airways, 2.Singapore Airlines, 3.Cathay Pasific, 4. Turkish Airlines, 5.Emirates, 6.Etihad,7. All Nippon, 8.Garuda, 9. EVA dan 10. Qantas]. Kami dilayan dengan ramah dan sopan oleh paramugari yang kebanyakannya berwajah Eropah. Kami juga diberi souvenir , yang amat jarang dilakukan oleh syarikat penerbangan lain ketika ini. Ianya mengingatkan aku kepada syarikat penerbangan negara, MAS di zaman kegemilangannya sekitar tahun 1990an. Ketika itu peluang menaiki kapal terbang untuk keluar negara merupakan peluang keemasan bagi sesiapa sahaja. Banyak barang keperluan seperti stokin, toiletries, buku catatan dan pen yang akan diberikan sewaktu penerbangan. Makanan juga begitu  mewah dan sedap. Kali terakhir menaiki MAS adalah pada tahun 1999 untuk ke Brisbane, Australia. Kini dengan kehadiran begitu banyak syarikat penerbangan...Everyone Can Fly.

Dari Abu Dhabi pula memerlukan masa 1 jam 15 minit untuk tiba ke Riyadh dengan Air Seycelles. Kami tiba pada pukul 3.00 pagi waktu tempatan.







                                                                                                                              zias/riyadh/15
















Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Raya 2024

BismillahirRahmanirRahim Hari raya kedua,  Kami bertiga bertolak ke utara dengan melalui lebuh raya WCE yang baru sahaja siap. Malangnya ber...