Isnin, 3 Ogos 2015

Travelog : Oh! Riyadh (57) - Selamat Hari Raya Eidul Fitri


Selamat Hari Raya Eidul Fitri

Tahun ini kami menyambut Hari Raya di Sungai Bakap terlebih dahulu. Kampungku ini terletak di Daerah Jawi Seberang Perai Selatan dalam Negeri Pulau Pinang. Seperti biasa aku akan menjadi Chef utama ketika beraya di kampungku. Tahun ini aku menukar sedikit menu, kuah lodeh dan kuah kacang tidak menjadi pilihanku kerana kami baru menikmatinya di Melaka ketika berbuka puasa. Aku menyediakan rendang ayam, kari ayam dan ketupat nasi bersarungkan daun kelapa. Emak aku pula menyediakan laksa Penang dan ketupat daun palas. Emy pula menggoreng cucur udang untuk dimakan bersama laksa. semuanya disediakan pada malam hari raya.
Sepanjang Lebuh raya ke utara, penuh kehijauan.
Dua hari sebelum Hari Raya, perjalanan lancar.
Selepas Solat Hari Raya aku sibuk menyediakan Nasi Kabsah Daging. Aku begitu sibuk sehingga tidak berkesempatan mengambil gambar sempena Hari Raya. Semua kakak-kakak dan abangku berkunjung ke rumah arwah ayahku selepas Solat Hari Raya. Suasana begitu meriah dengan kehadiran anak-anak, cucu -cucu dan cicit-cicit ayahku. Hari Raya kedua aku menyediakan Nasi Kabsah Daging sekali lagi kerana ramai yang tidak berpeluang merasainya pada Hari Raya pertama. Usai memasak, kami berkunjung ke rumah kakak-kakak dan saudara lain yang berhampiran dengan kampungku. Emy pula pulang ke rumah ibu mertuanya di Gurun. 
Bergambar pada Hari Raya kedua. Bersama Emak, Emy dan Firas
Bersama kakak sulung-Pn Hjh Aishah, abang- Tn Hj Mohd Kamis dan
kakap ipar- Pn Hjh Saadiah
Keluarga Arwah Abangku Abdul Razak.

Sawah padi di kampung Kakak Iparku Pn Hjh Saadiah
di Sungai Burung Tanjung Piandang

Seperti biasa sebelum balik kami dibekalkan dengan
pisang, kelapa muda dan keladi. Amir, anak saudaraku
di sebelah kiri.

Hari Raya ketiga kami ke Kuala Perlis menziarahi emak saudaraku yang aku panggil Teh. Kebetulan mereka mengadakan jamuan makan tengah hari bersama keluarga, jadi kami berpeluang menikmati makanan yang begitu enak. Semua makanan laut yang dihidangkan begitu segar. Kari ikan nyiok-nyiok, ikan bakar, udang dan ketam bakar, udang goreng kunyit, pelbagai ulam termasuk pucuk gajus yang menjadi kegemaranku serta air asam yang sedap. Kami bermalam di rumah abangku , Tn Hj Mohd Khamis di Kuala Kedah, Alor Setar. Malamnya kami dijamu dengan buah cempedak kampung yang manis. Sayang sekali kedai Laksa Teluk Kucai belum memulakan perniagaan. Niat untuk menikmatinya terpaksa ditangguhkan. Alahai sedapnya Laksa Teluk Kucai. Bagi mereka yang mahu ke Pulau Langkawi melalui Jeti Kuala Kedah, anda boleh mencubanya. Kedai Laksa Teluk Kucai terletak di laluan tersebut, berhampiran pejabat pertanian Negeri Kedah. 
Pemandangan sawah padi menghijau sepanjang
lebuh raya ke Alor Setar.

Rumah abangku, Tn Hj Mohd Khamis

Rumah abangku ini  penuh dihiasi dengan pokok bongsai.

Hidangan makan tengahari di Kuala Perlis...yummy.

Kaum lelaki makan dulu.

Bersama emak saudaraku, Teh. Semoga terus sihat di usia 80an.

Sempat bergambar beramai-ramai.


Setelah seminggu di Penang, kami berangkat pulang ke Kuala Lumpur dan sempat singgah di Lumut. Kami menziarahi bapa saudara suamiku di sana. Kesuntukan masa ditambah pula keadaan suamiku yang tidak sihat memaksa kami untuk terus pulang tanpa sempat singgah melihat pantai Lumut. Keesokan harinya  kami beraya di Melaka pula. Kini kami berada di Kuala Lumpur dan seperti biasa akan meneruskan aktiviti mengunjungi rumah terbuka di hujung minggu. Tidak lupa membuka rumah untuk dikunjungi.

Emak Mentua di Melaka



                                                                                                                                          zias/riyadh/15

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Raya 2024

BismillahirRahmanirRahim Hari raya kedua,  Kami bertiga bertolak ke utara dengan melalui lebuh raya WCE yang baru sahaja siap. Malangnya ber...