Ahad, 26 April 2015

Travelog: Syurga Di Wajah Queenstown (1)


New Zealand Village, Yamaguchi

Agak lama aku memerhatikan Saffura yang asyik melambung blok kayu berbentuk kiub yang tertulis nombor dan juga tulisan dalam bahasa Jepun itu. Objek hiasan yang menunjukkan tarikh dan hari itu sangat  digemari oleh Saffura sejak kecil lagi. Tidak tertahan melihat gelagatnya aku terus menegur.
"Saffura, jangan main benda hiasan tu. Nanti rosak, jauh tahu mama beli tu." Saffura hanya tersengih dan  terus bermain dengan blok kayu tersebut seolah-olah bermain batu selambat.
Tidak berpuas hati dengan sikap Saffura yang masih tidak mengendahkan laranganku, aku bergerak menuju ke ruang tamu. Apabila melihat aku mula mengorak langkah ke arahnya, Saffura terus bangun dan meluru ke arahku sambil bertanya. "Mama beli mainan ini di New Zealand ke? Mama kata mama tak pernah pergi ke New Zealand, siapa bagi ini mama?"
Suaranya yang manja menghilangkan keinginanku  untuk terus memarahinya, lantas mengambil objek tersebut sambil berkata, "Ini bukan alat permainan sayang. Ini adalah sejenis hiasan merangkap kalendar. Tengok ni, New Zealand Village  Yamaguchi, Japan. Mama beli di Jepun, bukan di New Zealand."
Jawapan tersebut mengundang soalan lain pula dari Saffura, "Kenapa dekat Jepun ada nama New Zealand pulak?"

        Aku mengimbau kembali kenangan melawat sebuah taman tema yang diberi nama New Zealand Village, Yamaguchi hampir dua puluh tahun lalu. Ketika itu aku bercuti untuk mengikuti suami menjalani kursus di Yamaguchi, Jepun.

Kami dibawa oleh dua orang pelajar Malaysia yang sedang belajar di Universiti Yamaguchi untuk bersiar-siar di sekitar Bandar Yamaguchi. Taman tema yang agak luas itu mempunyai beberapa tarikan seperti kawasan menternak kambing biri-biri di mana pengunjung boleh mendekati kambing biri-biri yang terletak di dalam kandang yang luas dan berpagar. Terdapat juga sebuah tasik yang mempunyai permainan bot air yang terdiri dari pelbagai rupa bentuk seperti angsa dan kapal terbang. Permainan inilah yang menjadi daya tarikan kepada kanak-kanak yang berkunjung ke sana. Mercu tandanya adalah sebuah bangunan berciri Eropah yang memiliki bumbung berwarna merah jambu.

Untuk tidak mengecewakan pertanyaan Saffura aku menerangkan kepadanya, "Mungkin orang Jepun begitu mengkagumi keindahan New Zealand lalu dibina taman tema yang menyerupai suasana di New Zealand. Sebab itu diberi nama New Zealand Village," dengan harapan Saffura yang baru berusia 10 tahun itu boleh memahaminya.
          "Kawan Saffura, Aishah pernah tinggal di Australia dan melancong ke New Zealand. Aishah kata New Zealand sangat cantik,  Saffura pun berangan-angan nak ke New Zealand." Saffura menukar tajuk setelah mendapat sedikit kefahaman dariku.
Sambil menyusun kembali alat hiasan tersebut  di dalam almari khas di bawah tangga ruang tamu rumah aku berkata, "Memang ayah ada merancang untuk ke New Zealand, tapi penerbangan murah Air Asia dah memberhentikan penerbangan ke sana. Jadi kita kena bersabar sikit. Kita kumpul duit dulu, harga tiket kapal terbang untuk ke New Zealand mahal sikit."
Sambil menganggukkan kepala Saffura akur dengan penerangan yang aku berikan. Kemudian Saffura bertanya kembali, "Mama, cuti sekolah kali ini kita nak bercuti ke mana mama?"

Aku menutup kembali pintu cermin almari yang sarat dengan pelbagai hiasan dari luar negara yang pernah aku lawati. Kebanyakan barang yang aku beli adalah kecil dan murah sahaja. Sekadar sebagai ingatan bukan untuk bermewah. Aku memberi perhatian semula kepada Saffura setelah merasa puas menyusun barang-barang di dalam almari tersebut.
"Entahlah, memang mama ada ajak ayah pergi ke luar negara tetapi ayah susah nak dapat cuti, mungkin yang dekat saja. Ayah ada kata nak pergi Australia."
Belum sempat aku menghabiskan ayat tersebut, Saffura melompat-lompat sambil menarik kedua belah tangan aku lalu berkata, "Yeye, Saffura memang nak ke Australia sebab ada kanggaru dan koala."
"Yalah, tapi mama dah pergi Australia, dua kali dah," aku tersenyum melihat telatah  Saffura. 
          Sambil melepaskan tanganku, Saffura menambah, "Alah, Saffura selalu berdoa untuk pergi ke Australia seperti Aishah, okay la mama."

Aku tidak mempunyai pilihan lalu menjawab, "Tengok la, mama nak ajak ayah pergi ke Christchurch dari  Melbourne. Tunggulah ya, ayah masih mencari tiket murah, sabar lah."

Hasratku untuk ke New Zealand memang sudah lama tersimpan di hati namun terpaksa dipendamkan sahaja memandangkan kos untuk ke sana begitu tinggi. Pakej melancong yang ditawarkan oleh pelbagai agen pelancongan begitu mahal dan tidak semua agen pelancongan menawarkan pakej untuk pergi ke sana. Hanya agen pelancongan yang popular sahaja yang menawarkan pakej seumpama itu. Harga serendah RM7,000.00 seorang untuk percutian selama 6 hari dan 5 malam sudah pasti membuatkan golongan berpendapatan sederhana seperti keluargakuku  berfikir dua kali sebelum pergi. Kami turut meninjau harga tiket kapal terbang di Matta Fair 2012 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra namun harganya juga agak tinggi. Syarikat penerbangan seperti  Malaysia Airlines  menawarkan tambang berharga RM3000.00 ke atas untuk penerbangan pergi dan balik ke Auckland, New Zealand.

Harga tiket penerbangan menjadi lebih tinggi jika tarikh yang dipilih adalah bertepatan dengan waktu cuti  persekolahan. Waktu terbaik untuk ke New Zealand adalah pada musim bunga dan musim panas kerana tempoh masa siangnya yang panjang.  Musim tersebut jatuh pada bulan November dan Disember bersamaan dengan cuti persekolahan pada hujung tahun. Negara New Zealand dan Australia memiliki 4 musim namun waktunya bertentangan dengan negara beriklim yang sama di sebelah utara. Jadi ketika negara-negara di Kutub Utara mengalami musim sejuk, negara-negara di Kutub Selatan pula sedang mengalami musim panas.

Keghairahan Saffura untuk ke Australia membuatkanku dan suamiku memikirkan cara lain untuk mendapatkan tiket penerbangan yang murah. Akhirnya kami mengambil tiket penerbangan ke Melbourne menggunakan Air Asia. Manakala untuk penerbangan dari Melbourne ke Christchurch, kami menaiki Jetstar. 


New Zealand terkenal dengan  jutaan kambing biri-biri 















Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Raya 2024

BismillahirRahmanirRahim Hari raya kedua,  Kami bertiga bertolak ke utara dengan melalui lebuh raya WCE yang baru sahaja siap. Malangnya ber...