Rabu, 29 April 2015

Travelog : Oh ! Riyadh - Selamat Tinggal SMTKL


Selamat Tinggal  SMTKL

Mei 2013

Sekolah Menengah Teknik Kuala Lumpur merupakan sekolah ke empat aku bertugas semenjak 1997. Tujuh belas tahun berada di sekolah elit ini pasti terlalu banyak peristiwa suka dan duka. Ramai kawan-kawan yang bersama denganku suatu ketika dahulu sudah berpindah, bersara awal atau bersara wajib. Sekarang aku dikelilingi dengan rakan setugas yang kebanyakannya masih muda belaka. Namun masih ada rakan setugasku yang masih setia berada di sekolah ini untuk meneruskan kerjaya masing-masing. Terlalu lama bekerja di persekiratan yang sama dan tugasan yang rutin kerap kali menjemukan aku. Dua kali aku memohon untuk berpindah sekolah bagi memaksimumkan kerjayaku namun tidak berjaya.



Terlalu banyak perbezaan pelaksanaan tugas seorang guru pada masa sekarang berbanding di awal penyertaanku sebagai seorang guru lebih dua puluh tahun yang lalu. Tumpuan seorang guru di zaman mencabar ini terlalu bersifat memenuhi pelbagai tuntutan dari banyak pihak. Peranan sebenar untuk mendidik generasi akan datang secara holistik bagi menghasilkan generasi seimbang tinggal angan-angan sahaja. Akhirnya produk yang terhasil laksana robot, sekadar mengikut manual yang tersedia seiring dengan keperluan untuk mencapai status negara maju.




"Aiiya .... nak cari makan pun susah," keluh Pn Ho, rakan setugasku  lama  dahulu apabila kami diberi pelbagai arahan tambahan yang tak pernah bernoktah. Pn Ho merupakan Ketua Panitia Kimia pada masa itu dan kini bertugas di Melaka


Berhadapan dengan tugasan pengkeranian yang tidak pernah berkurang pasti melemaskan. Yang terbaru segala-galanya perlu diisi secara online dan penilaian berasaskan sekolah. Masalahnya, kerap kali berlaku kesesakan pada sistem yang menyebabkan guru-guru terpaksa berjaga sehingga larut malam untuk memasukkan data yang diperlukan. Tiba masa untuk aku berehat buat seketika.


Permohonan cuti tanpa gaji aku mengejutkan Pengetua namun dia tidak mempunyai pilihan kerana aku akan mengikut suami ke luar negara. Aku merasa terlalu gembira kerana ini adalah kami pertama aku akan bercuti panjang setelah begitu penat bekerja selama 24 tahun. Aku memohon cuti bermula pada bulan September  2013. Kebanyakan pelajar aku agak sedih mendengar berita tersebut terutama bagi mereka yang akan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.



"Cik gu kenapa la cikgu nak bercuti? Saya baru minat nak belajar kimia,"soal Hazim yang baru mula mahu menumpukan perhatian kepada pelajaran.
” Boleh ke saya dapat A dalam kimia cik gu?” soal Hamani pula yang merupakan pelajar harapanku untuk meraih A dalam subjek kimia bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia nanti.
"Ingat kejayaan seseorang tidak bergantung kepada orang lain apatah lagi pada seorang guru. Ramai guru-guru kimia lain yang akan membantu awak." setiap hujah mereka dengan mudah aku patahkan.

Hampir setiap hari aku dihujani dengan pelbagai soalan juga rintihan apabila pelajar-pelajar datang ke mejaku di bilik guru.  Kedudukan mejaku yang berada di laluan utama bilik guru memudahkan sesiapa saja singgah untuk berbual denganku.



Berita pemohonan cutiku sejuk secara tiba-tiba apabila berita yang lebih panas muncul. Pengetua yang sedia ada akan dipindahkan ke sekolah lain dalam tempoh masa yang singkat. Seluruh warga sekolah begitu teruja dengan berita tersebut. Berita itu menambahkan lagi sensasi perpindahan Penolong Kanan Pentadbiran yang baru dipindahkan dua bulan sebelumnya.





"Saya ingat Pn Fauziah yang akan pindah,  rupanya saya dulu yang kena pindah," ucap Pn Pengetua ketika aku bersalaman dengannya. Majlis perpisahan diadakan untuknya di Hotel Berjaya Times Square.
"Ialah puan kita hanya merancang," balasku dengan rasa agak lucu.

Seminggu kemudian Pengetua baru memulakan tugasnya di sekolah kami. Beliau adalah Pengetua ke tujuh bagiku di sekolah ini.

Majlis perpisahan diadakan oleh Kelab Guru dan Staf yang dipengerusikan oleh Pn Marina untukku sebelum aku mula bercuti. Aku tidak dapat menahan sebak di dada ketika diminta memberi ucapan perpisahan. Hanya pemohonan maaf saja yang mampu aku sampaikan kepada rakan-rakan setugas yang kebanyakannya begitu baik hati. Aku menggunakan peluang yang diberikan kerana belum pasti aku akan dapat kembali mengajar di sekolah ini. Tempoh masa bercuti yang panjang memerlukan guru lain  untuk menggantikan aku bagi meneruskan proses pengajaran dan pembelajaran yang sedia ada. Nasi Arab istimewa yang disediakan oleh suami Pn Rosnani menjadi menu utama jamuan tersebut. Pengetua juga memberi ucapan di dalam majlis yang diadakan di ruang rehat bilik guru itu. Jam tangan berjenama Bonia yang dihadiahkan pasti akan mengingatkan aku kepada  seluruh warga Sekolah Menengah Teknik Kuala Lumpur.



.

Kalau ada sumur di padang
Boleh saya menumpang mandi
Kalau ada umur yang panjang
Boleh kita berjumpa lagi








Nikmat yang paling berharga selepas nikmat iman dan Islam, 
adalah memiliki sahabat yang soleh 
[Umar Al-Khattab ra]





                                                     

                                                                                                                                               zias/riyadh/15













Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Raya 2024

BismillahirRahmanirRahim Hari raya kedua,  Kami bertiga bertolak ke utara dengan melalui lebuh raya WCE yang baru sahaja siap. Malangnya ber...