Ahad, 6 Ogos 2017

Travelog : Sesejuk Bosnia & Herzegovina (15) - Mostar Memang Best


22 Disember 2016 (Hari ke-8)


Cepavi

Hari ini kami akan kembali ke Sarajevo setelah tiga hari dua malam di Mostar. Selepas berkemas kami bergambar sekeliling kawasan apartmen dan ke Stari Most sekali lagi. Tidak jemu untuk melihat dan merakam gambar-gambarnya. Sempat aku menegur satu keluarga 4 beranak dari Malaysia di tengah jambatan. Mereka juga akan meninggalkan Mostar sebentar lagi. Kami juga singgah  di atas jambatan biru untuk melihat  Stari Most dari jauh. Kelihatan dengan jelas 8 menara masjid lama yang hampir sama bentuk dan ketinggiannya menjulang tinggi. Ianya adalah bukti sejarah bahawa Islam pernah berkembang pesat di sini.

Tepat  pukul 10 pagi, suami Ramayana datang ke apartmen  untuk urusan checkout. Ramayana yang bekerja  di sebuah sekolah undang-undang tidak dapat datang bertemu dengan kami. Tidak dapat aku bergambar dengan Ramayana. Pasangan ini memiliki 4 buah apartmen  untuk disewa oleh pelancong. Apartmen yang kami duduki akan dimasuki oleh pelancong dari Korea Selatan dua hari lagi. Bisnes dalam bidang pelancongan begitu memberansangkan kerana Bosnia tidak memiliki punca pendapatan lain seperti minyak dan hasil bumi lain. Rata-rata terlibat dengan pertanian. Kaum muda banyak melibatkan diri dengan perlancongan bagi menambah pendapatan.


Suamiku membayar 90 KM untuk 2 malam dengan sedikit diskaun kerana masalah parkir kereta yang jauh. Aku perhatikan rata-rata pemilik apartmen tidak berkira sangat, mereka dengan mudah memberi diskaun. Kami diiringi sehingga ke kereta dan kami mengucapkan selamat tinggal. Tidak lama kemudian Ramayana menghantar pesanan melalui WhatsApp, beliau memohon maaf kerana tidak dapat hadir. Pun begitu beliau sempat berkunjung ke apartmen kami pada pukul 9 malam tadi tapi kami sudah tidur.

Kami tidur dengan nyenyak kerana keletihan dan kekenyangan. Malam tadi kami keluar lagi ke sekitar jambatan untuk mengambil gambar. Dalam perjalanan kami ditegur oleh seorang lelaki berkupiah putih. Berseri wajahnya. Beliau menegur aku dan Saffura yang sedang menunggu suami yang ke tandas. Sebelumnya 3 warga Malaysia sempat kami tegur , mereka dari Kuala Lumpur dan bermalam di Mostar. Semasa kami berjalan mahu menuju ke kawasan bawah jambatan, lelaki berkupian putih muncul lagi dan bersalaman dengan suamiku. Beliau begitu gembira apabila diberitahu kami dari Malaysia. Tiba-tiba beliau menyuruh kami masuk ke restoran Haan Hin, halal katanya. Beliau mengiring kami sehingga ke atas restoran. Kami pun duduk dan memesan Cepavi atau kebab....sedap juga. Dan 2 set kopi Bosnia.
Tumpang tandas je
Menjadi pilihan

Capevi atau kebab....
Kopi Bosnia lagi....

Air sedang pasang ketika kami berada di tepi sungai. Tiba-tiba azan dilaungkan....syahdu mendengarnya. MasyaALlah. Tidak lama kemudian bunyi loceng dari gereja berhampiran pula kedengaran...mahu melawan laungan azan barangkali. Walaupun kelihatan suasana masyarakat di situ  tenang, pasti rasa curiga masih membara di kalangan mereka.

Dalam perjalanan pulang ke apartmen kami singgah di PEKARA untuk membeli roti buat mengalas perut jika terasa lapar. Kami diekori oleh seorang kanak-kanak peminta sedekah sehingga ke kedai. Ramai yang masuk ke kedai tanpa menghiraukan kanak-kanak tersebut. Kami terus diekori sehingga mahu masuk ke lorong ke apartmen kami. Maaf kami tidak dapat membantu dik, kami risau juga jika ada rombongan lain pula yang akan ikut kami sehingga ke apatmen. Ketika di Blagaj juga ada seorang lelaki  tua berkerusi roda tanpa kaki meminta sedekah.

Baru aku faham kenapa Mostar begitu popular di kalangan pelancong. Bentuk muka buminya sangat cantik terutama sungainya. Seluruh kawasan bandar lamanya penuh dengan kesan sejarah Islam. Makanannya sangat sedap dan berkualiti. Penduduknya sangat peramah dan kami sempat bertemu dengan seorang saudara Islam  setiap kali kami berada di jalan raya. Beberapa kali kami ditegurnya tanpa jemu sehingga saat kami akan meninggalkan Mostar. Ketika itu dia dalam perjalanan pulang mengambil cucu-cucunya dari sekolah. Bagi yang berminat untuk melihat ladang buah-buahan, Mostar juga menawarkan pelbagai jenis buah-buahan. Ada beberapa tempat lagi yang tidak sempat kami kunjungi kerana kesuntukan masa. Seperti air terjun Kravice yang terletak di selatan Mostar kira-kira 40 kilometer dari Mostar. Ianya setinggi 26 meter di Sungai Trebizat. Berdekatan dengannya ialah Bandar Pocitelj yang terkenal sebagai Mutiara Herzegovina. Semoga ada rezeki lagi untuk kami ke sini.

Lelaki ini kami temui setiap kali kami berjalan kaki di tepi jalan.
Perjalanan kembali ke Sarajevo, kami bertemu dengan gerai-gerai menjual buah limau, delima dan sebagainya. Kami asyik sekali melayani pemandangan sungai sepanjang jalan. Di Jablanica, kami singgah di Restoran Kovacevic kerana ianya sudah dibuka dan banyak pula kereta di depan restoran tersebut. Luas restorannya, kami mencari meja berhampiran dengan tingkap untuk melihat sungai begitu hampir dengan restoran tersebut. Di sebelah meja kami adalah sepasang suami isteri dengan dua anak kecil sedang minum bersama pemandu pelancong. Aku sempat bertanya dan diberitahu mereka dari UAE.


Akhirnya dapat juga peluang makan di restoran di sini.

Menanti sajian.

Sekitar restoran

Pemandangan dari tempat duduk kami.
Kami memesan sepinggan ikan (dipanggil riba dalam bahasa Bosnian) trout dan semangkuk sup ikan bersama kopi bosnian. Sup ikannya sangat sedap dengan isi ikan dan kuah tomato tetapi pedas sedikit. Sedapnya...roti pula kurang sedap kerana agak keras. Jangan risau untuk singgah kerana harga ok aje.






Sup ikan atau Riblja corba  5KM
Supnya memang sedap.
 Trout....12KM.

Ketika mahu keluar dari restoran sempat kami melihat kambing dibakar. Kambing bakar menjadi hidangan kebanyakan restoran di sini...walaupun ada tanda halal namun kami masih belum berani mencubanya.

Kambing bakar sangat popular di Jablanica.

Pemandangan sekitar restoran.




Kami tiba di Sarajevo dan terkejut dengan suasana persekitarannya yang berkabus. Jarak pemandangan juga amat  terhad. Kami meneruskan perjalanan ke Jahorina.

Bayar tol..

Pusat Bandar Sarajevo.
zias/Bosnia/17

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Iftar Ramadan Di Klana Beach Resort Port Dickson

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah berpeluang menikmati pelbagai hidangan sewaktu berbuka puasa di Klana Beach Resort Port Dickson berta...