Isnin, 10 Julai 2017

Rasa Dapurku (235) - Kek Batik Biskut Marie

Kek Batik Biskut Marie



BismillahirRahmaniRahim




Kek Batik biskut Marie membawa kembali kenangan ketika aku baru memulakan karier di Melaka. Ketika itu aku menumpang tinggal di rumah salah seorang guru di sekolah yang sama denganku iaitu Sekolah Menengah Gajah Berang, Melaka. Cikgu Rokiah begitu baik hati kerana sudi mengambil aku tinggal sementara di rumahnya. Aku tinggal bersama keluarganya selama lebih kurang enam bulan. Pembantu rumahnya yang bernama Sarah agak rapat dengan aku. Dia sering menjelaskan perihal penggunaan bahasa orang Melaka yang bagiku agak kasar atau kasau seperti 'Lahabau' yang bermaksud Apa khabar dan 'Hawau' yang bermaksud rasa kecewa. 2 resepi yang kerap aku lihat dimasak oleh keluarga ini ialah Nasi Ayam yang biasanya dimasak oleh Encik Suhaimi, suami kepada Cikgu Rokiah. Juga Kek Batik yang dimasak oleh Cikgu Rokiah sendiri yang begitu diminati oleh anak-anaknya yang seramai 5 orang.

Kini aku mencuba resepi yang sekarang kembali popular terutama di kalangan kanak-kanak juga orang dewasa. Cara penyediaannya begitu mudah dan belanjanya juga agak murah. Aku menyediakan kek ini sebagai persediaan andai ada tetamu yang tiba-tiba muncul di hujung minggu sempena bulan Syawal yang masih meriah di Kuala Lumpur.

Resepi Kek Batik Biskut Marie
Bahan2:
250 gram mentega
2 cawan Milo ( 1 paket paling kecil)
1/2 tin susu pekat
3 sudu besar serbuk koko
30 keping biskut Marie

Cara Membuatnya:
1.Cairkan mentega di dalam sebuah periuk dan kacau.
2.Masukkan susu pekat dan kacau.
3.Masukkan Milo dan serbuk koko dan kacau sehingga semua sebati.

   
4.Masukkan biskut Marie, patahkan sedikit biskut Marie tersebut.



5.Tutup api dan kacau sehingga semuanya bersalut dengan adunan
   tersebut.
6.Masukkan ke dalam bekas yang dialas dengan baking paper. Ratakan.
7.Simpan di dalam peti sejuk selama 24 jam sebelum dipotong.
8.Boleh juga disusunkan biskut di dalam bekas kecil dan dituangkan
   adunan jika menggunakan bekas yang kecil.

*Petua untuk tidak melekat dengan meletakkan 1/2 sudu besar tepung
  jagung ke dalam adunan.
   



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Raya 2024

BismillahirRahmanirRahim Hari raya kedua,  Kami bertiga bertolak ke utara dengan melalui lebuh raya WCE yang baru sahaja siap. Malangnya ber...