Rabu, 24 Jun 2015

Dapurku D'Riyadh (33) - Nasi Dagang Terengganu



Haahh  jumpa beras pulut di Kedai Banyuwangi, apalagi macam-macam idea datang. Aku memang sudah lama teringin mahu makan nasi dagang. 
Tempe, tauhu,petai,ikan kering dan macam-macam lagi

Macam-macam ada ...serupa tapi tak sama

Aku lebih suka makan nasi dagang versi Kelantan yang berwarna unggu berbanding dengan nasi dagang yang berwarna putih yang popular di Terengganu dan Pahang. Semasa kami tinggal di Kuantan selama dua tahun, Restoran Natam yang terletak di hadapan Jabatan Ukur menjadi pilihan kami. Ikan Tongkol atau ikan kayu (bahasa orang Utara) yang segar memang banyak dijual di Tamimi Market. 
Ada tiga Tamimi Markets berhampiran kediaman kami tapi harga mahal sikit.

Beli ikan di sini aje...siap disiang.

Aku tidak pasti dari blog mana aku ambil resepi ini...malas la pulak nak cari...tapi memang sedap dan menjadi masakan aku. Rempah pula aku guna rempah yang diberi oleh Pn Hjh Yuslida iaitu rempah gulai jenama Cap Bunga Ros. 

Kali pertama aku guna rempah tersebut semata-mata, hasilnya tidak begitu memuaskan dari segi warnanya. Kemudian aku campur rempah tersebut dengan serbuk cili....warna dan baunya memenuhi citarasa. Aku sediakan acar timun rekaan sendiri untuk menambah keenakan.

Bismillahirrahmanirrahim

Resepi Nasi Dagang

Bahan2:
 3 cawan beras basmati
3/4 cawan beras pulut
(Beras dan pulut ini direndam semalaman-jika mahu makan waktu pagi)
2 cawan santan cair
1 1/2 cawan santan pekat(ditambah garam)
1 inci halia (dihiris nipis)
1 1/2 sudu kecil halba
6 biji bawang merah(dihiris nipis)
2 helai daun pandan (aku guna serai)

Cara Membuatnya:
1. Kukus beras dan pulut dikukus bersama daun pandan sehingga 
    masak (30 minit)
2. Keluarkan dan masukkan ke dalam sebuah bekas yang besar.
    Masukkan santan cair dan gaul perlahan-lahan supaya santan
    meresap dan sekata.
3. Kukus semula selama 30 minit, selepas 10 minit ,masukkan
    halba dan separuh bawang merah yang dihiris.
4. Keluarkan nasi yang sudah masak ke dalam bekas yang besar
    dan masukkan halia dan lebihan bawang. Masukkan santan
    pekat dan gaul perlahan-lahan sehingga nasi menjadi lembut.
Nasi dagang dah siap.

Resepi Gulai ikan Tongkol

Bahan2:
1 ekor ikan tongkol yang agak besar(dipotong)
3-4 keping asam keping
sedikit gula melaka/merah
2 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1 inci lengkuas
(bawang,halia dan lengkuas dikisar halus)
2@3 sudu besar rempah ikan
1 sudu besar cili serbuk
2 cawan santan pekat
1 sudu besar kerisik
Garam
Air secukupnya
Minyak untuk memasak

Cara Membuatnya
1. Rebus ikan bersama air,garam dan asam keping selama 1 jam.
2. Panaskan minyak di dalam periuk/kuali. Masukkan cili serbuk
    diikuti bahan kisar. Kacau dengan agak lama menggunakan api
    perlahan.
3 .Masukkan rempah dan kacau sehingga garing, warna agak gelap.
    (Masukkan air rebusan ikan jika terlalu kering)
4. Masukkan  air rebusan ikan, gula Melaka dan santan pekat  
    Biarkan sehingga pekat. Masukkan kerisik dan ikan yang
    direbus. Masak sehingga kuah menjadi pekat.
Gulai ikan Tongkol

Resepi Acar Timun
2 biji timun - dibelah dua,dibuang isi dan dipotong memanjang nipis)
1 biji lobak merah- dihiris nipis
1 biji bawang besar dipotong nipis
1 biji cili hijau/merah dihiris nipis
Sedikit perahan lemon
Garam dan gula secukupnya.
Acar timun pun dah ok

Gaulkan semua bersama-sama dan simpan di dalam peti sejuk sebelum
dimakan bersama dengan nasi dagang dan ikan tongkol.
   
Jom makang ikang

    

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Raya 2024

BismillahirRahmanirRahim Hari raya kedua,  Kami bertiga bertolak ke utara dengan melalui lebuh raya WCE yang baru sahaja siap. Malangnya ber...