Ahad, 14 Jun 2015

Dapurku D'Riyadh(21) - Nasi Bukhari Kambing @ Nasi Daging


Kedai nasi Bukhari memang terdapat di mana-mana kawasan di Arab Saudi. Ianya begitu popular terutama di kalangan warga Pakistan. Kami warga SMTKL kerap kali dijamu dengan nasi Bukhari oleh sahabat kami Datin Siti Hajar binti Hj Isa atau lebih mesra dengan panggilan Kakti. Semenjak akhir tahun 1990an sehingga awal 2000an sebelum kakti bersara, kami  selalu jemput ke rumahnya untuk menikmati hidangan nasi Bukhari setiap kali hari raya. Hidangan nasi Bukhari Kakti istimewa kerana ianya dimakan dengan air asam bukan salatah dan  lauk pauk lain yang berkuah seperti daging masak hitam. Kakti lebih suka memanggil hidangan istimewanya sebagai nasi daging. Aku pasti warga SMTKL yang pernah merasainya akan terkenang sampai bila-bila. 

Di Riyadh terasa teringin memasaknya, lalu aku meminta resepi tersebut daripada Kakti dan mencubanya. Alhamdulillah ianya sedap walaupun tanpa hidangan lain,hanya dengan air asam sahaja. Kami makan ketika di dalam perjalanan menuju ke Madinah di satu tempat rehat bernama An Nabhaniyah.

Bismillahirrahmanirrahim

Resepi Nasi Bukhari @ Nasi Daging

2 cawan beras basmati (dibasuh,direndam 30 minit dan ditoskan)
1 biji bawang besar(didadu)
4 ulas bawang putih
1 inci halia
(bawang putih dan halia dikisar)
2/3 sudu besar rempah Bukhari (boleh lebih jika suka)
900g daging kambing yang dipotong
2/3 sudu besar tomato puree
2 sudu besar minyak zaitun/masak
1 susu besar minyak sapi/mentega
4 jenis penumis
Garam

Cara Membuatnya:

1. Panaskan minyak di dalam sebuah periuk .
2. Masukkan penumis kemudian bawang besar. Kacau
    dan masukkan bawang putih dan halia yang dikisar.
    Masak hingga garing.
3. Masukkan rempah dan tomato puree, kacau sekejap.
    Masukkan kambing. Kacau dalam masa 2-3 minit.
    Jika terlalu kering tambah sedikit air.
4. Masukkan air sehingga menutupi kambing, masak
    sehingga daging lembut.
5. Pastikan kandungan cecair di dalam kuah daging lebih
    kurang 3 cawan sahaja. Masukkan garam dan beras
    yang sudah ditoskan.
6. Masak sehingga nasi kering. Perlahankan api, gunakan
    api paling kecil dan tutup periuk dengan penutupnya.
    Biarkan lebih kurang 10-15 minit.
7. Apabila nasi sudah masak sepenuhnya, letakkan minyak
    sapi/mentega. Biarkan sekejap. Kacau seluruh bahagian
    nasi dengan garpu supaya minyak sapi/ mentega rata.
    Guna garpu untuk mengelakkan nasi dari hancur.






Resepi Air Asam  Utara

2 biji tomato
1 biji bawang besar dihiris nipis
1 biji cili hijau/cili padi
1 biji cili merah
Air asam pekat
Belacan (jika suka)
Garam dan sedikit gula
Perahan lemon(jika suka)

Kisar tomato bersama cili sehingga halus.
Masukkan bawang,air asam, garam dan gula, gaulkan.
Akhir sekali perahkan lemon/limau nipis



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Iftar Ramadan Di Klana Beach Resort Port Dickson

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah berpeluang menikmati pelbagai hidangan sewaktu berbuka puasa di Klana Beach Resort Port Dickson berta...