Sabtu, 27 Februari 2021

Rasa Dapur KakJee ( 376) - Roti Paratha Sarang Burung

BismillahirRahmanirRahim




Alhamdulillah. Sebulan KakJee mengikuti kursus fotografi secara online. Kursus ini agak mencabar terutama pada minggu terakhir di mana peserta perlu mengedit gambar yang telah diambil. Setiap peserta mengedit gambar secara lansung dengan dibantu guru  bertugas. Ada dua latihan yang wajib dibuat dan salah satunya akan menjadi bukti penyertaan. 

Gambar di atas adalah untuk Latihan 1, flat lay namanya. Abaikan nama resipi yang tertulis di gambarnya ya. Resipi ini mudah sahaja. Boleh guna roti canai atau paratha. Jom cuba.

Resipi Roti Paratha Sarang Burung
Bahan2:
1 Keping roti paratha jenama Kawan
2 biji telur 
Sedikit minyak


Cara Membuatnya:
1.Dengan menggunakan pisau potong bahagian tengah kepada 4 bahagian. Pastikan potongan tidak terkena sehingga bahagian tepi. 


2. Lipatkan ke bahagian luar seperti dalam gambar di bawah.


                

3. Panaskan kuali dan sapu sedikit minyak. Masak kedua belah sehingga kekuningan. 

4. Masukkan telur ke bahagian lubang yang disediakan, biar sehingga telur masak seperti yang dikehendaki. Masak penuh atau 3/4.



5. Boleh dimakan bersama inti daging untuk kuih cara berlauk seperti dalam gambar.


Selamat Mencuba. Senang sahaja.

Khamis, 11 Februari 2021

KOLEKSI ILMU - KURSUS FOTOGRAFI - SMARTPIKSEL


BismillahirRahmanirRahim





Alhamdulillah, segala pujian buat Allah SWT yang telah memberi kemudahan untuk aku mengikuti dan manamatkan kelas Smartphone Fotografi Asas secara online. Terpegun melihat gambar-gambar yang diposkan oleh sahabat muka buku, terasa ingin pula aku belajar.

Lagi pula aku sedang merancang untuk menerbitkan buku resipi. Ianya sebagai kenangan untuk blog ini yang sarat dengan pelbagai resipi. Pastilah menjadi impian aku untuk ada buku memasak sendiri. Jika aku boleh mengambil gambar dengaan baik serta boleh mengeditnya sendiri pasti lebih menjimatkan.

Jadi aku pun mendaftarkan diri pada bulan November 2020, sedangkan kelas akan bermula pada bulan Januari 2021. lamanya aku kena tunggu, terpaksa tangguh dahulu program buku resipi. Cepat pula masa berlalu dan aku bersama rakan-rakan yang lain seramai lebih 150 orang dimasukkan dalam Telegram sebagai Batch 8.

Yuran hanya RM60 namun kami diminta untuk menyediakan peralatan untuk mengambil gambar. Antaranya tripod, softbox, reflector & diffuser, munting board dan props. Hihi...memang aku taak pernah dengar semua tu kecuali tripod. Syukur Saffura tahu dan dia membantuku membuat pesanan melalui Shopee seperti yang diberitahu oleh guru bertugas.

Pukul 9.00 pagi, Puan Hani selalu pemilik SmartPiksel akan memberi nota berkaitan kepada kami. Kami akan mencetak nota untuk persediaan kelas malam nanti. Penerangan akan diberi pada pukul 10.00 malam berserta contoh. Kelas akan mengambil masa selama hampir 2 jam. Selepas itu kedatangan akan diambil. Ini waktu paling kelakar, berpusu-pusu tekan  /in.
Guru bertugas akan menuruskannya sebaik kelas selesai dan kami diberi peluang  untuk /in sehingga pukul 12.00 malam.

Minggu 1
11/1/2021 - 16/1/2021
Lighting - Menguasai teknik penggunaan cahaya semulajadi atau cahaya lampu.

Bermula pada pukul 9.00 pagi hari Isnin sehingga pukul 10.00  malam Sabtu. Setiap peserta kan membuat latihan secara individu. Latihan akan dihantar melalui Telegram dan seorang guru akan bertugas untuk membantu sehingga selesai tugasan tersebut. Jika lulus kami akan diberitahu supaya  "Bungkuss". Berdebar sungguh menanti simbol tersebut keluar.

Biasanya aku akan melihat terlebih dahulu perjalanan kelas. Memerhati kerja yang dibuat peserta lain dan penerangan ticer. Nota-nota penting aku simpan untuk rujukan. Hari selasa atau Rabu aku akan membuat latihan, biasanya di waktu pagi. Waktu malam aku tak kacau supaya rakan-rakan yang bekerja boleh membuat latihan dengan tenang.

Ini hasil tugasan yang diberi. Latihan Side Light memang mudah dan terus lulus. Tidak disangka  Back Light agak payah namun Rim Light lagi la teruk. Untuk rim Light, aku terpaksa ubah tempat mencari meja yang lebih luas. Perubahan demi perubahan dilakukan untuk mendapatkan sudut yang sesuai. Alhamdulillah lulus setelah dua hari bertungkus lumus...hihi.






Minggu 2 
18/1/2021 - 23/1/2021
Angle & Styling - Perkara asas dan wajib ketahui sudut yang betul. Juga susun atur yang menarik.







Minggu 3
25/1/2021 - 30/1/2021
Marketing - Pelajari cara mengiklankan jualan melalui foto.

Latihan minggu ini ialah mengambil gambar ikut angle yang dipelajari sebelum ini. Kami diminta siapkan Latihan 1 secara flat lay dan Latihan 2 ikut pilihan masing-masing. Semuanya melihatkan makanan dan disertai props masing-masing. 

Ramai peserta menggunakan makanan yang dibeli atau yang diperolehi di dalam rumah sahaja. Tetapi aku ni terlebih rajin, buat sendiri semuanya. Untuk Latihan 1 aku masak Roti Paratha Sarang Burung di awal pagi. Kemudian terus ambil gambar dan tunjukkan pada ticer. Sehingga tengahari baru selesai. 


Flat lay


Petangnya aku sediakan Jelly pula. Malamnya aku mendeko jelly sehingga pukul 12 malam. Esok paginya aku bersedia untuk membuat latihan. Alhamdulillah selesai dalam tempoh dua hari.

High angle


Minggu 4
1/2/2021 - 6/2/2021 - Kuasai teknik melalui aplikasi yang membantu meningkatkan kualiti foto seperti Snapseed dan Phonto.

Minggu paling mencabar dan aku tidak begitu memahaminya sewaktu sesi penerangan. Terus terang tidak tahu di mana mahu bermula. Melihat latihan peserta lain, nampak memang ramai tidak tahu. Jenuh ticer nak ajar satu persatu namun proses berjalan sehingga peserta lulus. 

Aku agak kecut perut juga dan terpaksa tunggu sehingga hari Khamis untuk menyakinkan diri.
Dengan contoh yang aku tengok daripada peserta lain, aku edit sahaja ikut sahaja. Kemudian biar ticer tengok dan beri komen. Susahnya dan blurkan gambar. Ada masanya ticer tanya ilmu mana aku pelajari bila ada kesalahan teruk...hihi.

Untuk gambar pertama aku membuat latihan daripada pukul 9.00 pagi sehingga 1.00 petang. Malangnya apabila ticer bertukar, keadaan jadi sedikit sukar. Pukul 2.30 selepas sedikit ubah suai, aku pun lulus. Alhamdulillah.

Bandingkan gambar yang sebelum dan selepas diedit. Amat berbeza!



Malamnya aku teruskan dengan Latihan 2 selepas solat Maghrib. Aku sudah yakin dan merasa mudah untuk edit gambar selepas pengalaman perit pagi tadi.Ya Allah ticer terus luluskan hanya dengan sekali tunjuk sahaja. Tiada komen katanya. Terasa ringan bahuku. Kemudian aku diminta untuk melengkapkan gambar yang diedit seperti yang ditetapkan. Seronoknya segalanya sudah selesai. Jom tengok hasilnya.




Semua gambar peserta diletakkan di dalam satu folder khas untuk dirujuk. Ticer Hani akan memilih gambar-gambar yang cantik untuk diletakkan di FB beliau. Pemenang 1, 2 dan 3 akan mendapat hadiah. Semua peserta yang berjaya menghantar Latihan 2 akan join Alumni untuk meneruskan kemahiran masing-masing.

10/2/2021 - Pengumuman Pemenang
Hari ini Ticer Hani mengumumkan pemenang dan meletakkan gambar-gambar yang terpilih. Seronoknya apabila gambar aku juga terpilih dan berada pada kedudukan ke-26. Hanya 50 gambar dipilih daripada 111 gambar. Syukur Alhamdulillah. 
Jom tengok gambar pemenang2 tersebut.






 

Selesai.

Sabtu, 30 Januari 2021

Rasa Dapur KakJee (375) - Kuetiau Sup Chinese Style

BismillahirRahmanirRahim



Ada masa kita teringin untuk makan tengahari selain daripada nasi. Kebetulan ada satu bungkus kuetiau dalam peti sejuk. Selalu sangat buat kuetiaw goreng untuk sarapan, hari ini tukar selera. Kita buat kuetiau sup pula. Bukan sup biasa tu tapi masakan yang lebih mudah dan ringkas.

Jumpa pula resipi kuetiau sup kat Blogdailymakan.com, semua bahan pun ada. Tetapi KakJee gantikan ayam dengan daging. Sedap sangat dan begitu segar rasanya sewaktu makan. Bawang putih yang dicincang dan digoreng, betul-betul menguasai rasa, walau tanpa perencah lain. Habis sekali makan. Meh jengah resipinya.


Resipi Kuetiau Chinese Style

Bahan2
1 bungkus kuetiau
1 labu bawang putih - dicincang
100 - 200 gram daging dihiris nipis dan direbus hingga lembut
10 biji fish ball
1 keping fish cake dihiris nipis
2 tangkai sawi Jepun/Pak Choy
Air secukupnya
Garam
Minyak masak secukupnya
Daun bawang/sup dihiris nipis
Cili padi dihiris
Kicap

Cara membuatnya:
1.Panaskan minyak dan goreng bawang puith hingga keperangan. Keluarkan separuh untuk disimpan dan dimakan nanti.
2.Masukkan daging bersama air rebusan. Tambah air jika perlu dan perisakan dengan garam.
3.Bila mendidih, masukkan fish ball dan fish cake. Akhir sekali sawi.Tutup api.
4.Kuetiau dicelur dalam air panas dan toskan.
5.Hidang bersama hirisan daun bawang/sup dan cili padi.


Selamat mencuba.









Isnin, 18 Januari 2021

Rasa Dapur KakJee (374) - Ayam Goreng Korea



BismillahirRahmanirRahim







Ketika berada di MyTown, IOI Mall Puchong atau di mana-mana mall sekitar Kuala Lumpur dan Selangor pasti kelihatan ramai anak-anak muda beratur panjang di outlet makanan ini. Kami kerap terfikir apalah sedapnya Ayam Goreng Korea ni. Sehingga ianya menjadi satu fenomena dan digemari ramai.

Kebetulan ada temu  janji dengan sahabat sewaktu zaman kanak-kanak dahulu iaitu Zana dan Aina. Kami bertemu di Bunch-Oh, Malakat Mall yang ada menyediakan pelbagai hidangan. Zana memesan Ayam Goreng Korea , Aida mahu Sushi dan KakJee pula order Piza . Bahagia betul dapat berjumpa sahabat lama sambil makan-makan. Kat situlah KakJee merasa Ayam Goreng Korea yang semakin terkenal tu.

 Aida (kiri) dan Zana (kanan) 

Saffura memang dah lama suruh KakJee masak Ayam Goreng Korea tapi baru hari ini datang seruu. KakJee pilih resipi Che Nom kerana kebetulan semua bahan ada kecuali sos tomato. Tapi tak apa KakJee letak aje sos cili asalkan ada sos. Sedapnya lah hai, suami pun suka.

Sebaiknya guna ayam bahagian kepak untuk resipi ini tapi yang ada hanya seekor ayam di dalam peti sejuk. Jadi KakJee guna ajelah bahagian yang bertulang dan potong dalam saiz yang sesuai. Satu lagi nak bagi tau, ayam tu perlu digoreng dua kali. Mungkin sebab itu ianya ranggup sewaktu panas dan lembut isinya.

Resipi Ayam Goreng Korea
Bahan2:

Untuk Ayam Goreng
700 gram kepak ayam (bahagi dua bahagian)
3 ulas bawang putih
1 inci halia
sedikit serbuk lada hitam
garam
1 cawan tepung gandum
2/3 cawan tepung jagung
minyak untuk menggoreng

Cara Membuatnya:
1.Bersihkan ayam dan tos kering. 

Ambil bahagian drumette dan flat/wingette


2.Parut halus bawang putih dan halia ke dalam bekas yang ada ayam. Masukkan lada hitan dan garam. Gaul dan perap sebentar.
3.Campur dan gaul kedua jenis tepung. Celupkan dan gaulkan ketulan ayam bersama tepung dan letakkan ke dalam sebuah bekas.
4.Panaskan minyak dalam kuantiti yang banyak. Pastikan ayam tenggelam dalam minyak. Goreng ayam sehingga kekuningan (sekejap sahaja). Angkat dan rehatkan sekejap.

Goreng kali pertama
                                             
5.Masukkan balik ayam dalam kuali dan masak sehingga garing atau perang. Angkat dan toskan.


Goreng kali ke-2

Untuk Sos
Sedikit minyak (1-2 sudu besar) - guna minyak goreng ayam tadi
2 ulas bawang putih
1 sudu besar kicap manis jenama Kipas Udang
1/2 cawan  air
1 sudu besar gula perang
1 sudu besar serbuk cili (lebihkan jika nak lebih pedas)
2-3 sudu besar sos tomato (ganti dengan sos cili)
1 sudu besar madu
Garam
ayam goreng
bijan putih untuk hiasan

Cara Membuatnya:
1.Panaskan minyak dan tumis bawang putih hingga kekuningan.
2.Masukkan kicap manis, serbuk cili, air, gula perang, sos tomato, madu dan sedikit garam. Masak sehingga kuah menjadi pekat.
3.Masukkan ayam dan gaulkan sehingga sekata. Angkat dan tabur dengan bijan. 

Sedap dimakan bersama nasi atau dimakan begitu sahaja.
Memang sedap!

Selamat mencuba.

Sedap






 

Ahad, 10 Januari 2021

Rasa Dapur KakJee (373) - Roti Paratha Gulung


BismillahirRahmanirRahim




Didoakan agar semua yang terlibat dengan banjir diberi kemudahan dalam menghadapi ujian daripada Allah SWT. Terutama bagi mereka yang berada di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor. Hanya doa yang mampu dikirimkan dari kejauhan.

Kali ini KakJee nak share resipi Roti Paratha Gulung yang mudah disediakan andainya tiada kuah untuk dicicah dengan roti paratha. Kebetulan roti paratha ini sentiasa sahaja ada dalam stok dalam peti sejuk. Maklumlah terkadang tidak sempat menyediakan sarapan yang berat jadi kebiasaannya roti inilah yang menjadi mangsa.

Menjadi amalan KakJee untuk menyejuk bekukan kuah kari atau kuah asam pedas yang berlebihan. Jadi jika mahu makan roti paratha, hanya perlu panaskan sahaja kuah-kuah tersebut. Namun idea untuk menyediakan Roti Paratha Gulung ini timbul apabila tiada kuah dalam stok. Kebetulan ada inti daging untuk kuih cara berlauk jadi KakGee cubalah resipi sendiri. Sedap pula dan lebih berkhasiat.

Resipi Roti Paratha Gulung
Bahan2:
Inti Daging
400 g daging kisar jenama Ramly
1 biji bawang besar dipotong dadu
3 ulas bawang putih diketuk
3-4 sudu besar serbuk kari daging jenama Adabi
Minyak masak
Garam
Air

Cara Membuatnya:
1.Panaskan minyak dan masukkan bawang besar dan bawang putih. Kacau sehingga kekuningan.
2.Masukkan serbuk kari, kacau sebentar supaya semuanya kena minyak. Dengan cepat masukkan 1/2 cawan air. Kacau sehingga pecah minyak.
3.Masukkan daging kisar bersama sedikit air. Kacau sehingga daging masak dan kering.

Untuk sediakan Roti Paratha Gulung
3 keping roti paratha
Salad
Kentang goreng (jika suka)
Hirisan Tomato (jika suka)

Masak roti paratha di atas kuali sehingga keperangan. Angkat.
Letakkan salad dan bahan-bahan lain.
Gulung dan potong dua.
* Boleh masukkan pelbagai bahan lain, ikut apa yang ada.



Nak letak sos dan mayonis pun boleh

Mudah disediakan dan mengenyangkan.


Isnin, 4 Januari 2021

Visit My Malaysia - Taman Saujana Hijau Putrajaya


BismillahirRahmanirRahim




Belum terlambat rasanya untuk aku berkongsi rasa kesyukuran kerana diberi peluang oleh Allah SWT untuk menatap mentari tahun 2021 Masihi. Selamat Tahun Baharu 2021.

Kali ini aku mahu berkongsi tempat beriadah yang sangat menarik iaitu Taman Saujana Hijau, Presint 11 Putrajaya. Taman yang unik ini khusus bagi penanaman dan pemeliharaan kumpulan tumbuhan Gimnosperma tropika dan subtropika.




Dibina supaya dapat menjadi pusat penyelidikan, rujukan dan pembelajaran terhadap tumbuhan Gimnosperma. Pun begitu turut disediakan pelbagai kemudahan buat penduduk sekitar beriadah dan rekreasi.


Papan tanda


Berkeluasan kira-kira 117 ekar dengan kawasan berbukit-bukit dan dikelilingi kawasan perumahan. Sesuai untuk joging, berbasikal,  berkelah dan sesi fotografi kerana suasananya yang indah dan mendamaikan.

Pokok Pain yang tinggi belaka

Gaya landskap ala-ala Eropah dengan pokok pain, tanah lapang dengan rumput hijau dan pokok-pokok bunga menghiasi persekitaran.


Pokok spesis Gimnosperma

Pokok bunga Taik ayam

Astaka

Kawasan lapang untuk berkelah

Namun yang mencuri perhatian ramai pastilah deretan pokok bunga matahari yang sedang berkembang.

Aku sendiri ke sana dua hari berturut-turut. Hari pertama untuk beriadah dan bergambar. Hari kedua hanya untuk bergambar di sekitar pokok bunga matahari. Menemani Saffura yang tidak berpeluang ikut pada hari sebelumnya.

Deretan pokok bunga matahari

Sedang kembang elok


Panas sikit , gunalah topi.

Tumpang sekaki


Jom beli - 0133645560

Jom beli 0133645560

Ni pun cantik. Boleh berbasikal di taman ini

Kawasan paling tinggi untuk dinaiki

Agak mencabar tingginya

Di puncak Taman Saujana  Hijau. Kelihatan kawasan perumahan.

Ada tram kot.



Silalah ke sana.

 

Selasa, 15 Disember 2020

Rasa Dapur KakJee (372) - Sup Ikan Tenggiri


BismillahirRahmanirRahim




Sup Ikan Tenggiri yang ringkas dan enak rasanya. Tidak disangka rasanya setanding dengan sup ikan merah yang biasa KakJee sediakan sekian lama. Mudah sahaja untuk disediakan. Cubalah.

Resipi Sup Ikan Tenggiri
Bahan2:
2 keping ikan Tenggiri - dibelah 4
1/2 biji bawang besar dihiris 
2-3 ulas bawang putih dihiris
1 inci halia dihiris
1 sudu besar rempah sup jenama ADABI
4 jenis bahan penumis
Sedikit daun sup
Sedikit daun bawang
Sedikit bawang goreng
Sedikit minyak
Garam
Air

Cara Membuatnya:
1.Panaskan minyak dalam kuali. Tumiskan bawang besar, bawang putih dan halia. Kacau sehingga
garing. Masukkan penumis.
2.Masukkan rempah sup, kacau dan dengan cepat masukkan sedikit air. Kacau sehingga pecah minyak. Masukkan air secukupnya bersama batang daun sup dan batang daun bawang. Biarkan mendidih.
3.Masukkan ikan dan garam. Apabila ikan hampir masak perlahankan api. 
4.Apabila ikan sudah masak, taburkan hirisan daun bawang, hirisan daun sup dan bawang goreng.
Sedap juga dimakan dengan roti.


Selamat Mencuba.












 

Jumaat, 4 Disember 2020

Visit My Malaysia - Pintasan Saloma, Kuala Lumpur

BismillahirRahmanirRahim





Hasrat untuk sampai ke Pintasan Saloma akhirnya terlaksana setelah beberapa kali mencuba. Mulanya kami ke sana sewaktu tengahari selepas menghantar pesanan buku travelog untuk pembekal buku di Petaaling Jaya. Buku Travelog Tunisia dan Travelog Arab Saudi adalah untuk negeri Pulau Pinang. Alhamdulillah.

Jom!

Kami ikut laluan di Kampung Bharu. Laluan yang diikuti agak sempit dan banyak kedai-kedai makan di sekitarnya. Mujur tidak banyak kenderaan seperti biasa dan mudah untuk parkir kereta di tepi jalan. Ada tangga namun kami memilih  menggunakan lif untuk naik ke atas bangunan yang menghubungkan Pintasan Saloma. Hanya aku dan Saffura sahaja di situ, kami bergambar sepuasnya. Kelihatan lebuhraya dan sungai di bawah Pintaasan Saloma. Disebaabkan cuaca yang agak panas, kami tidak terfikir untuk menyeberangi pintasan tersebut.

Kelihatan Menara Petronas dan Menara Public Bank

Takde orang

Pintasan Saloma dari Kampung Bharu ke KLCC

Kelihatan Lebuhraya AKLEH


Tidak puas hati, kami ke sana lagi selepas beberapa hari. Kali ini pada waktu malam pula. Laluan yang sama namun kali ini kami menaiki tangga kerana ada ramai pengunjung di situ. Panorama di waktu malam sangat cantik. Penuh dengan cahaya dan berwarna warni.


Cantik!

Laluan dari arah Kampung Bharu


Kian ramai pengunjung





Kami menyeberangi Pintasan Saloma yang membawa kami ke KLCC.

Menara Berkembar tertinggi di dunia 

Suasana tenang .

Lebih mudah untuk ke Pintasan Saloma melalui jalan ini. Dari KLCC anda perlu melintas jalan dan ikut jalan di hadapan nz Curry House. Jika berkereta, ambil jalan ke Menara Public Bank, ada kawasan parkir di belakang bangunan  Menara Public Bank dan anda hanya perlu berjalan beberapa meter sahaja untuk ke Pintasan Saloma.


Papan Tanda untuk ke Pintasan Saloma. Tak sesat dah.


Laluan untuk ke Pintasan Saloma. Jalan terus sahaja.

Laluan ke Pintasan Saloma melalui arah KLCC

Pencahayaan bertema

Nota Pintasan Saloma

Laluan dari arah KLCC


Pintasa Saloma mula dibuka pada tahun 2020 dan merupakan laluan pejalan kaki bertingkat terpanjang tanpa tiang di Malaysia. Reka bentuk Pintasan Saloma diillhamkan dari gubahan tradisi Sirih Junjung yang simbolik kepada konsep perpaduan masyarakat Melayu. Pintasan Saloma menjadi penghubung utama pejalan kaki di antara Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dan Kampung Bharu. Jarak keseluruhan Pintasan adalah 370 meter dan struktur utama Pintasan Saloma adalah laluan pejalan kaki bertingkat yang berbumbung sepanjang 69 meter merentasi Sungai Klang dan Lebuhraya AKLEH. Pintasan Saloma telah menjadi salah satu struktur ikonik di bandaraya Kuala Lumpur. Struktur bumbung besi yang melengkung dan dilitupi oleh 4,100 keping panel berbentuk berlian serta dilengkapi dengan impak seni pencahayaan bertema pada waktu malam menjadikannya unik. Orientasi pemasangan kemasan lantai di sepanjang laluan disusun mengikut arah kiblat bagi menwujudkan kesinambungan antara Pintasan Saloma dan Taman Perkuburan Islam Jalan Ampang.











 

Rasa Dapur Kak Jee (430) - Ikan Selar Masak Cuka

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah,  kita berpeluang untuk berada di sepuluh terakhir bulan Ramadan .  Didoakan pengunjung blog Kak Jee ...