Khamis, 12 Disember 2024

Rasa Dapur Kak Jee (423) - Daging Dendeng


BismillahirRahmanirRahim





Daging Dendeng yang paling sedap pernah Kak Jee rasa adalah yang dimasak oleh sahabat guru sewaktu bertugas di SM Teknik Kuala Lumpur, Puan Hajah Rubiah. Makan dengan nasi minyak sempena kenduri rakan setugas hendak menunaikan umrah. Sedapnya terasa sehingga kini. Namun Kak Jee tidak pernah terasa mahu mencuba walaupun ada minta resipinya. 

Beberapa bulan lepas masakan ini viral angkara Khairul Aming, pempengaruh masakan popular tanah air kita. Kak Jee rasa agak susah untuk menyediakannya walaupun Saffura ada juga bertanya. "Kenapa mama tak masak daging dendeng?"

Kebetulan beberapa minggu lepas, jiran  selang sebuah rumah kerap juga meminta daun limau purut yang Kak Jee tanam di belakang rumah, nak buat daging dendeng katanya. 

"Selalu sangat Su masak daging dendeng ni, senang ke?"

"Senang sangat kak, tengok resipi Khairul Aming."

Jadi Kak Jee pun cuba try la tapi taklah banyak sehingga 1 kilo dagingnya. Lepas tu Kak Jee kurangkan kicap jadi warnanya taklah hitam pekat. Tapi kan, memang senang dan sedaplah resipi ni. Boleh buat lagi lain kali. Cuma rasanya tidak berempah seperti yang Puan Hajah Rubiah masak. Kena cari resipi beliau nampaknya.

Resipi di bawah Kak Jee ambil dari Google. Bolehlah cuba.

Resipi Daging Dendeng Khairul Aming
Bahan2:
1 kg daging 
4 batang serai*
Halia sebesar ibu jari*
4 biji bawang merah*
6 ulas bawang putih*
Segenggam cili kering yang direbus*
3 helai daun limau purut
1 cawan kicap manis
Air rebusan daging
Gula
Garam
Serbuk perasa
6 cili padi merah
Sedikit asam jawa

Cara membuatnya:
1. Rebus daging bersama air sehingga lembut. Sejukkan dan hiris daging nipis-nipis dan tumbuk hirisan daging dengan lesung penumbuk tetapi jangan sampai hancur. Biar tercarik agar mudah dimakan.
2.Gaulkan daging yang siap ditumbuk dengan kicap manis sehingga sebati.
3.Panaskan sedikit minyak dan goreng daging sekejap, biar rata.
4.Kisar bahan bertanda *.
5.Tumiskan bahan kisar tadi dengan minyak goreng daging tadi sampai agak kering kemudian tambah air rebusan daging. Kacau sehingga pecah minyak, masukkan kicap dan kacau sampai sebati.
6.Masukkan daun limau purut, garam, gula dan asam jawa, kacau sebati. Masukkan daging dan kacau sehingga semuanya sebati dengan sambal. Akhir sekali masukkan cili padi merah yang diketuk.




 

Rasa Dapur Kak Jee (423) - Daging Dendeng

BismillahirRahmanirRahim Daging Dendeng yang paling sedap pernah Kak Jee rasa adalah yang dimasak oleh sahabat guru sewaktu bertugas di SM T...