Selasa, 25 Oktober 2016

Travelog : Oh!Riyadh (131) - Cintaku Tertinggal di Madinah




Cintaku Tertinggal di Madinah


9 Syawal 1437H, hari terakhir kami di Madinah. Sempat aku dan Saffura ziarah ke Raudhah. Tetamu Allah tidak begitu ramai seperti kebiasaannya. Namun suasana berasak-asak masih berlaku ketika berada di dalam kawasan Masjid Nabawi yang asal. Aku dan Saffura tidak berhasrat untuk berebut duduk di bahagian hadapan Raudhah. Terasa sedih mahu meninggalkan bumi kesayangan Rasulullah SAW ini. Kami sekadar mencari kawasan yang dipenuhi permaidani hijau dan melakukan solat sunat selepas memberi salam kepada Rasulullah SAW  dan sahabat-sahabat baginda. Kami sedar kebanyakan tetamu Allah kali ini ramai dari kalangan Syiah berdasarkan cara mereka berpakaian.


Menanti giliran masuk ke Raudhah


Ruang asal Masjid Nabawi kelihatan dari jauh
" Ya Allah penuhi hati kami dengan ketenangan sebagaimana tenangnya Madinah dan Raudhah. Jangan      
   hendaknya KAU biarkan ketenangan Raudhah berlalu dari kami"

Indah rasanya berada di Madinah, sebuah kota yang tenang dan damai. Semoga rasa tenang dan damai tersebut terus terasa walau di mana kami berada. Selepas ini kami tidak akan dapat melalui rutin seperti yang kami lalui ketika berada di Arab Saudi . Setiap bulan atau dua bulan  kami akan ke Mekah dan Madinah, pasti suasana tersebut akan dirindui. Semoga kami dimurahkan rezeki, dikurniakan tubuh badan yang sihat serta kesempatan masa lalu berpeluang berziarah ke sini lagi.


Berada berhampiranmu jiwa menjadi harum, Ya Rasulullah....

Tetamu lebih tenang menanti

Paling hampir dengan kubah hijau
Di dalam perjalanan keluar dari ziarah ke Raudhah, aku mengambil kesempatan mengambil beberapa gambar di kawasan solat kaum lelaki di Masjid Nabawi. Peluang yang tidak boleh dilepaskan untuk meneroka ruang-ruang yang menjadi larangan pada waktu lain.








Di dalam perjalanan pulang ke hotel, aku dan Saffura  singgah untuk membeli cenderahati untuk anak-anak saudara yang ramai. Pening juga memikirkan barang yang sesuai untuk dibeli. Aku memilih barang yang ringan, kecil, mudah dibawa dan tidak terlalu mahal.  Akhirnya gelang tangan dan cermin kecil menjadi pilihan.


Susahnya untuk memilih

Belasah ajelah. Mujurlah ianya disukai.

Anwar Movenpick Hotel yang terletak bersebelahan
dengan hotel kami. Hotel yang popular di kalangan jemaah haji
dari Tabung Haji Travel & Tours

Pemandangan sekitar hotel yang akan kami kenang nanti

Pukul 10.00 pagi kami ke Masjid Nabawi sekali lagi untuk melakukan Ziarah Wida'. Ziarah Wida' atau dikenali sebagai ziarah selamat tinggal dilakukan sebelum kita meninggalkan Kota Madinah. Ianya sebagai tanda kasih dan rindu kita untuk meninggalkan Rasulullah SAW.

Kami berdoa agar berpeluang lagi untuk ziarah ke Masjid Nabawi. Sememangnya sedih terasa untuk meninggalkan bumi pilihan Allah ini. Namun apa kan daya kami hanya menjadi tetamu di sini. Tiga tahun tidak puas rasanya berulang alik ke sini. Masa berlalu begitu pantas, akhirnya kami terpaksa mengundur diri. Kami menghampiri kubah hijau, lalu memberi salam dan berdoa secara perlahan sambil merujuk buku panduan yang dibawa. Kami tidak boleh berada lama di situ kerana ianya adalah dilarang. Akan ada pegawai petugas yang akan menegur tetamu Allah jika kita berdiri lama di depan kubah hijau

  "Ya Allah, janganlah dijadikan ziarah hamba ini di tempat yang mulia ini sebagai ziarah
  yang penghabisan, kurniakanlah kepada hamba peluang untuk menziarahi kembali ke
  tempat ini dalam keadaan sihat, jika panjang umur hamba In Shaa Allah hamba akan
  datang lagi.Jika sampai ajal hamba, maka hamba akan meletakkan kepadanya syahadat
  dan perjanjian hamba dari hari ini sehingga hari kiamat iaitu hamba bersaksi tidak ada
  Tuhan melainkan Allah, Tuhan yang satu yang tidak ada sekutu bagiNya, hamba naik
  saksi bahawa Nabi Muhammad hambaNYa dan pesuruhNYa Maha Suci Engkau,
  Tuhan yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan, dan kesejahteraan atas rasul-rasul
  dan segala puji bagi Tuhan sekelian alam."

Kami berdoa agar berpeluang lagi untuk ziarah ke Masjid Nabawi. Sememangnya sedih terasa untuk meninggalkan bumi pilihan Allah ini. Namun apa kan daya kami hanya menjadi tetamu di sini. Tiga tahun tidak puas rasanya berulang alik ke sini. Masa berlalu begitu pantas, akhirnya kami terpaksa mengundur diri. 


Selamat tinggal...

Kami terus pulang ke hotel dan bergerak meninggalkan kota indah ini. Perjalanan terakhir dari Madinah menuju ke Riyadh. Tidak pasti adakah peluang sebegini akan muncul lagi. Aku meminta Saffura mengambil gambar-gambar sepanjang perjalanan buat ingatan apabila terasa rindu nanti. Padang pasir, pohon kurma, khemah-khemah, unta dan kambing, semuanya akan menjadi nostalgia indah buat kami. Alhamdulillah Ya Allah yang telah menunaikan hasrat kami untuk merasa pengalaman tinggal di bumi pilihanMu ini. Melihat jejak-jejak bersejarah yang Rasulullah tinggalkan. Merasa denyut nadi masyarakat pilihan di mana Rasul akhir zaman dihantar. Memahami jerit payah mengharungi iklim yang mencabar lalu menjadikan warganya begitu keras dan tegas. Namun bumi ini begitu cantik dan indah.


Pohon-pohon kurma lebat berbuah dan sedang masak.

Di sinilah tempat yang akan kami singgah untuk makan ketika di dalam perjalanan dari Riyadh ke Madinah

Khemah-khemah sang Badwi


Di bumi gersang, ada juga pulau penuh dengan pokok kurma

Lebuh raya tiga lorong yang luas

Antara pokok yang mampu bertahan di cuaca yang panas

Pokok-pokok kurma tetap menjadi pilihan

Pekan kecil berhampiran lebuh raya

Unta-unta yang sentiasa lapar

Unta-unta suka menghampiri pagar yang dibina sepanjang lebuh raya

Pokok-pokok liar di padang pasir

Menjadi pilihan sang unta

Menghampiri Bandar Al Qassim....banyak kebun di sini. Rumput untuk ternakan ditanam secara besar-besaran

Melepasi Bandar Al Qassim....banyak bukit-bukit pasir di sini

Menjadi pilihan ramai untuk berkelah dan bersantai


Cantik

Para penternak unta.

Sekitar padang pasir

Tidak pasti siapa yang tinggal di sini. Mungkin sang petani.

Sendirian...

Singgah di Sasco....kelihatan ada yang sedang berkelah. Pemandangan biasa di Arab Saudi


Menghampiri Pekan Al Ghat.....malam semakin hampir.


zias/cheras/2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Iftar Ramadan Di Klana Beach Resort Port Dickson

BismillahirRahmanirRahim Alhamdulillah berpeluang menikmati pelbagai hidangan sewaktu berbuka puasa di Klana Beach Resort Port Dickson berta...